Thursday , 28 August 2014

Penyanyi 60-an Datin Azizah Mohamad meninggal dunia

azizahPETALING JAYA -  Penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datin Azizah Mohamad, 66, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat sini kira-kira pukul 11.26 malam, Jumaat.

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim tahap akhir yang dihidapinya sejak setahun lalu selain beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

Beliau meninggal dunia di sisi suaminya, penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk A. Rahman Hasaan dan ahli keluarga lain.

Anak kepada Allahyarham, pelakon dan pengarah, Khir Rahman yang dihubungi mStar Online berkata, semua ahli keluarga redha dengan kehilangan itu kerana pihak hospital telah memaklumkan keadaan ibunya yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Jelas Khir, tiga hari sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, ibunya sudah tidak sedarkan diri.

“Selepas doktor memberitahu kami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan semua ahli keluarga sentiasa bersamanya.

“Ibu seorang yang kuat dalam melawan penyakitnya sehingga ke saat yang terakhir dan Allahyarham pergi dengan tenang. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya,” kata Khir.

Dalam pada itu, jenazah akan dimandikan dan dikafankan di HKL sebelum dibawa pulang ke rumah di Keramat dekat sini untuk memberi peluang kepada kaum keluarga memberikan penghormatan terakhir.

Khir memberitahu jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al Ansar Taman Keramat di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ansar selepas solat Zohor pada Sabtu.

Sebelum ini, mStar Online pernah melaporkan Azizah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas mengalami komplikasi beberapa penyakit dan jangkitan kuman dalam paru-paru.

Allahyarham yang aktif menyanyi sekitar tahun 60-an dan 70-an pernah popular dengan lagu seperti Syurga Idaman, Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapanku. – mStar


Scroll To Top