SK

Penyamun maut semasa lari dari polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR, Jun 10, 2012: Dua daripada tiga penjenayah yang cuba menyamun sebuah rumah di Dataran Ukay, Ampang di sini, awal pagi kelmarin, maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan ketika melarikan diri.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi, dua penjenayah memecah masuk rumah teres tiga tingkat di Jalan Anggerik, manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di hadapan rumah mangsa dengan kereta Proton Savvy.

Bagaimanapun, penghuninya lelaki warga tua dan anak perempuannya terdengar bunyi mencurigakan sebelum bertindak menghubungi polis yang tiba dua minit kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi, berkata panik selepas melihat kehadiran polis, kedua-dua penjenayah yang berada dalam rumah mangsa melompat pagar dan melarikan diri.

“Seorang daripada suspek yang melarikan diri ke arah Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berjaya meloloskan diri manakala seorang lagi terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas lebuh raya berkenaan.

“Pada masa sama, rakan mereka yang menunggu di kereta turut panik lalu memecut kenderaannya sebelum merempuh tiang jejantas berhampiran laluan ke Jalan Kolam Air, berhampiran Hotel Flamingo, Ampang, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Lelaki terbabit yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua mangsa berusia sekitar 20-an yang maut itu, namun polis sedang mengesan identiti mereka berdasarkan kesan cap jari.

“Polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek yang berkemungkinan melarikan diri dengan menaiki teksi di kawasan berhampiran,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau melihat suspek lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan di sekitar MRR2 supaya menghubungi Rakan Cop Polis Selangor di talian 03-20529999 bagi membantu siasatan. – BHO