klpost

Penyamun mati akibat serangan jantung

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mati dipercayai akibat serangan jantung selepas menyamun wang tunai RM20,000 daripada seorang warga emas di Taman Orkid, Sungai Layar, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, suspek berusia 46 tahun mati selepas terjatuh secara tiba-tiba dari motosikalnya. 

Sebelum itu, suspek dan tiga rakannya yang menaiki dua motosikal mengekori mangsa, Yeoh Ah Seng, 66, dari sebuah bank di Taman Pekan Baru di sini. 

Menurut Yeoh, selepas mengeluarkan wang dia yang tidak menyedari diekori, memasukkan duit terbabit dalam kocek seluar dan pulang ke rumahnya dengan menaiki motosikal ke Taman Orkid.

Bagaimanapun, katanya semasa tiba di tempat kejadian, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal cuba memintasnya manakala dua lagi suspek mengacukan parang meminta dia memberhentikan kenderaan.

“Mereka kemudian telah mengoyakkan kocek seluar saya dan merampas duit RM20,000. Dalam keadaan kelam-kabut, saya cuba bergelut dan berjaya melarikan diri ke sebuah rumah berdekatan untuk menyembunyikan diri,” katanya. 

Yeoh berkata ketika berlindung di dalam kawasan pagar sebuah rumah, dia ternampak seorang suspek terjatuh ke atas jalan raya. 

“Tiga lagi rakannya cuba menarik dan memanggil tetapi tidak dijawab. Mereka kemudian terus melarikan diri ke arah Sungai Layar,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda DSP Rickey Tey berkata suspek meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai terjatuh. 

Katanya mayat suspek dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat. – Bernama