klpost

Penurunan sokongan masyarakat India terhadap DAP di Pulau Pinang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

DALAM sibuk-sibuk isu berkaitan PAS kebelakangan ini, rupa-rupanya di Pulau Pinang ada isu lebih besar yang bakal muncul, yang mana kalau tidak ditangani dengan baik, mampu dan telah pun menyebabkan penurunan ketara sokongan orang India terhadap DAP dan Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Tidak seperti sangkaan ramai, punca kepada penurunan sokongan ini bukan soal Kg Buah Pala (perkampungan tradisional masyarakat India) yang dirobohkan kerajaan negeri untuk memberi jalan kepada pembangunan komersial, tapi lebih kepada pertelagahan pemimpin-pemimpin India DAP dalam Hindu Endowment Board (HEB).

Pertelagahan yang kemudiannya membawa kepada beberapa pembocoran maklumat mengenai salah laku pemimpin DAP tertentu dalam HEB kepada MIC negeri tersebut.

Menurut sumber, selain Timbalan Ketua Menteri II (TKM II) Dr. P Ramasamy (merangkap Pengerusi HEB), pemimpin DAP lain yang turut terlibat ialah ADUN Sri Delima, R.S.N Rayer (ahli lembaga Pengarah HEB).

Kebetulan, 2 nama ini jugalah yang menjadi tumpuan dalam pergolakan dalaman DAP yang melibatkan Ramasamy sendiri dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh beberapa bulan lepas, dengan Rayer dilihat sebagai penyokong kuat Karpal Singh.

Isunya pada penulis, kecil sahaja – penyelewengan wang kutipan sebuah kuil di Jalan Kebun Bungah melibatkan seorang perwakilan HEB. Wang yang terlibat bukannya bernilai jutaan ringgit pun tapi hanya beberapa ratus ringgit lebih dari RM 10 ribu.

Dalam hal ini, penulis lebih cenderung untuk meminta Rayer (seorang peguam) agar tidak campur tangan dalam siasatan polis yang dijalankan berhubung dengan penyelewengan wang tersebut, walaupun penulis difahamkan keluarga suspek sendiri datang meminta bantuan beliau.

Biarlah pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatannya dahulu sebelum Rayer boleh buat keputusan untuk masuk campur.

Janganlah hanya kerana laporan polis dibuat atas arahan Ramasamy, maka Rayer menganggap isu ini sebagai cubaan Ramasamy untuk menyingkirkannya sebagai ahli lembaga Pengarah HEB.

HEB adalah badan yang sensitif kepada penganut agama Hindu dan orang India. Ironinya, di luar negara India, hanya ada 2 badan seumpama HEB ditubuhkan, satu di Singapura dan satu di Pulau Pinang sendiri.

Justeru, sebarang masalah yang melanda badan ini, mampu menyebabkan perubahan sokongan orang India terhadap DAP dan Pakatan Rakyat, bukan setakat di Pulau Pinang sahaja, malah diserata negara juga. Apatah lagi bila dalam hal ini, MIC digunakan kedua-dua pihak bertelagah untuk mendedahkan kelemahan para pemimpin terlibat.

Kononnya atas nama kepentingan HEB, tapi sebetulnya nak menjatuhkan imej pemimpin berkenaan menggunakan platform berkecuali serta mengelak dari dikaitkan dengan DAP. – Suara Pakatan Rakyat