klpost

Pengganggur tawar seks kepada polis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis, Rabu lepas.
Majistret Azmil Muntapha Abas memerintahkan Thung Siew Wan, 47, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap 22 Ogos lepas.

Thung didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Koperal Abd Rashid Jamaludin, 30, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan RHB Bank, Jalan Bukit Bintang, Dang Wangi di sini pada 10 malam 22 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan dari India membabitkan RM96,000, Selasa lepas.

Kee Jit Tong, 58, didakwa bersubahat dengan Simon Choo yang masih bebas menipu N.Govindan dengan mendorong beliau menyerahkan RM96,000 untuk tujuan menukar kepada wang mata wang asing yang mana Govindan tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tahu diperdayakan.

Kee dari Masai, Johor didakwa melakukan kesalahan itu di Business Center, Tingkat 1, Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Dang Wangi di sini pada 2 petang 21 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam Jason Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September untuk tarikh sebutan. – Bernama