Sunday , 21 December 2014

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham hari ini memohon maaf

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

IPOH – Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di laman Twitter yang telah menimbulkan kontroversi serta kemarahan sebahagian masyarakat Islam.

Sambil menyatakan pendirian bahawa kenyataan beliau tidak langsung bermaksud untuk menghina Islam, Ngeh berkata bahawa kenyataannya itu telah diputar belit media UMNO-BN dan ini merupakan satu pembohongan.

Menjelaskan keadaan sebenar, Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, kenyataan Twitter beliau itu dikeluarkan setelah menonton laporan berita CNN, BBC dan Al-Jazeera yang memperlihatkan banyak insiden protes terhadap filem yang diterbitkan Sam Bacile, yang beliau sifatkan sebagai ‘orang gila’.

Ujar beliau lagi, kenyataan twitter itu dibuat dengan mengambil kira insiden keganasan yang berlaku serta setelah membaca laporan berita di Malaysiakini bahawa Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin merancang untuk menganjurkan protes besar-besaran pada Jumaat ini.

Katanya beliau sebenarnya tertanya-tanya, adakah umat Islam wajar menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga untuk memberi respon kepada sebuah video 13.5 minit yang diterbitkan oleh seorang gila bernama Sam Bacile.

“Saya cuma mahukan masyarakat kita berfikir dengan lebih mendalam untuk mengambilkira bagaimana kita memberi respon terhadap sebarang isu maupun provokasi,” katanya.

Dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan hari ini, beliau menyatakan dua pendirian jelas untuk mengutuk sekeras-kerasnya video tersebut termasuk pihak penerbitnya kerana memperkecil dan menghina kepercayaan dan agama lain sepertimana pendirian rasmi DAP yang dikeluarkan 16 September 2012 lalu.

Ngeh turut menegaskan bahawa beliau tetap menyokong hak individu untuk menganjurkan perhimpunan aman sepertimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang 23 tahun terlibat secara aktif dalam politik. Saya sendiri telah menganjurkan banyak siri demonstrasi di Perak, dan turut ditahan polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 serta turut hadir berhimpun dalam Bersih 3.0,” kata beliau.

Ngeh turut menyatakan perasaan selesa beliau terhadap pendirian ulama Islam tersohor, Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi yang mengetuai kesatuan antarabangsa Ulama Islam, Presiden Peguam Syarie Malaysia Musa Awang serta Ulama Muda UMNO, Ustaz Fathul Bari Jahaya yang turut berkongsi pendapat supaya mengambil jalan sederhana dalam memberi reaksi kepada isu tersebut. – Roketkini

Scroll To Top