klpost

Pengedaran borang permohonan MyKad kepada warga Indonesia dan Kemboja

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SUNGAI BULOH – Pas Selangor : Sindiket Edarkan Borang MyKad Kepada Warga Asing Masih Berleluasa

PAS Selangor mendakwa aktiviti sindiket itu di beberapa kampung sekitar Paya Jaras mirip kempen pemberian Kad Pengenalan secara besar-besaran semasa pilihanraya negeri Sabah pada tahun 1994.

Lebih serius lagi, Pas Selangor mendakwa tiada sebarang reaksi atau tindakan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap sindiket itu walaupun dua laporan telah dibuat iaitu di Balai Sg Plong dan Shah Alam pada tahun 2010 dan 2011.

Pada masa yang sama kata Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman DUN Paya Jaras juga telah merekodkan kenaikan mendadak jumlah “pengundi baru” sebanyak 41 peratus dalam masa lima tahun.

“Sudah setahun lebih laporan polis dibuat, tetapi tiada sebarang makluman daripada polis, bahkan sindiket tersebut masih terus bergerak sampai sekarang,” kata Khairuddin yang juga merupakan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras.

Menurut Khairuddin, rumah warga asing di Jalan Gajah 23, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Paya Jaras Hilir dikenal pasti sebagai lokasi yang sering dijadikan tempat pengedaran borang permohonan MyKad kepada warga Indonesia dan Kemboja di situ.

Khairuddin memberitahu kedua-dua kampung tersebut merupakan kampung yang hampir kesemua penduduknya terdiri dari warga Indonesia dan Kemboja.

“Memang pelik, borang MyKad boleh diedarkan sewenang-wenangnya, sedangkan permohonan perlu dibuat di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara.

“Mengapa perlu diadakan secara sorok-sorok pada lewat malam?” kata beliau lagi.

Tambah beliau, walaupun jentera pilihan raya PAS Selangor sendiri pernah ‘menyerahkan’ kumpulan sindiket itu kepada polis untuk tindakan susulan, tetapi kegiatan tersebut masih terus berjalan.

Menurut Khairuddin, kes tersebut mengingatkan terhadap kes pemberian kad pengenalan secara beramai-ramai kepada warga asing di Sabah pada 1994 yang dianggap sebagai faktor kemenangan Umno-BN di Sabah.

Khairuddin turut mendakwa terdapat gerakan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendaftarkan isteri-isteri tentera dalam senarai pemilih tanpa pengetahuan individu terbabit.

“Saya dimaklumkan oleh satu sumber dalam tentera sendiri, hampir 80 peratus isteri tentera yang didaftarkan sebagai pemilih tidak mengetahuinya,” ujar Khairuddin lagi.

Di Sungai Buloh, sekurang-kurangnya terdapat dua buah kem tentera termasuk yang berada di kawasan DUN Paya Jaras. – SelangorKu