klpost

Penduduk cemas mungkin akan berlaku Tsunami

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

yamin2KLANG – “Masih adakah lagi hari esok untuk kami sekeluarga?” Itulah yang bermain di fikiran seorang bapa apabila rumahnya hampir terbang dibawa angin dalam kejadian ribut yang melanda Kampung Budiman, Meru, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, penduduk, Mohd Salimi Suratman, 35, berkata, dia sedang berehat bersama keluarga di bahagian ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi angin yang semakin kuat dari arah belakang rumah mereka.

“Tidak sampai lima minit, bunyi tadi kedengaran semakin kuat dan dengan sekelip mata penglihatan kami menjadi kabur.

“Ketika itu, angin terlalu kuat sehingga saya tidak mampu melihat rumah jiran di hadapan, hanya dapat dilihat warna putih semata-mata.

“Keadaan menjadi semakin cemas apabila bumbung dapur kami mula diterbangkan angin satu persatu, hati saya terus terdetik, adakah ini tsunami atau dunia sudah kiamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Hanya mampu menangis

Salimi berkata, dalam keadaan sebegitu, tiada apa yang perlu diselamatkan lagi selain nyawa isteri, seorang anak dan kedua ibu bapa mentuanya.

“Saya terus menjerit mengarahkan mereka untuk keluar dari rumah kerana risau jika rumah kampung kami turut diterbangkan angin.

“Dalam keadaan kesejukan, keluarga saya hanya mampu menangis dan meraung. Saya bingung dan tidak tahu bagaimana caranya ingin meminta bantuan.

“Setelah keadaan sedikit reda, baru saya sedar bahawa bumbung rumah saya diterbangkan angin dan keadaan rumah berselerak dan basah,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang melanda 30 minit itu menerbangkan bumbung puluhan rumah di kawasan tersebut.

“Sejak 35 tahun kelahiran saya, inilah kali pertama saya merasai bencana buruk sebegini rupa, saya tidak sanggup untuk merasainya lagi,” katanya.

Pokok hempap sekolah

Dalam kejadian tersebut, Sekolah Kebangsaan Meru 2 turut terjejas dan diarahkan tutup sementara waktu oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas faktor keselamatan guru dan murid.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebatang pokok besar tumbang dan menghempap bangunan tiga tingkat sekolah berkenaan.

Sumber memberitahu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana kejadian tersebut berlaku ketika sesi persekolahan tamat.

Hanya beberapa kelas di tingkat tiga bangunan itu dilihat terjejas akibat pokok tumbang selain keadaan sekolah yang masih tidak terurus disebabkan kejadian tersebut.

Murid tahun 3, Adzmin Zul berkata, ketika tiba di sekolah, dia terkejut melihat pokok besar yang berada di belakang sekolah tumbang menghempap bangunan sekolah.

“Saya yang tinggal agak berjauhan dari sekolah merasa takut melihat keadaan berkenaan.

“Cikgu memberitahu bahawa sekolah dilanda ribut semalam (kelmarin), sekolah akan ditutup pada hari ini (semalam) dan akan memulakan sesi pada isnin minggu hadapan,” katanya.

Adun Meru hulur bantuan

Kejadian bencana ribut yang menimpa penduduk Kampung Budiman, Meru mendapat perhatian segera Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman; ketua Lembaga Zakat Selangor (LZS); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ketua kampung yang hadir meninjau kawasan bencana.

Abdul Rani mengesahkan bencana tersebut melibatkan 47 keluarga dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, kesemua keluarga mangsa diarah untuk membuat laporan polis terlebih dahulu bagi memudahkan pihak LZS dan JKM menyalurkan bantuan.

“Selain itu, saya juga melancarkan tabung bantuan bencana di semua masjid di sini.

“Segala kos pembelian barangan pertukangan dan kos baik pulih rumah mangsa ribut turut akan dibiayai saya,” katanya. – Kosmo