Sunday , 20 April 2014

Penduduk berang,masalah air masih belum diselesaikan

Jual-Air-Kepada-SelangorKUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu (Satu) menegaskan, masalah air yang berlaku di kawasan Felcra Keruak, Besut bukanlah masalah baru, sebaliknya sudah memakan masa kira-kira tiga tahun disebabkan keadaan geografi dan jarak yang jauh dari loji utama di Bukit Bunga, Besut.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Husain Embong berkata, buat masa sekarang, air dari loji utama di Bukit Bunga, Besut akan melalui stesen pertama iaitu di Felda Tenang yang jaraknya kira-kira lapan kilometer, sebelum sampai ke Felcra Keruak.

“Bagaimanapun, masalah utama di Felcra Keruak ini adalah disebabkan air yang kita bekalkan tidak sampai secara sempurna ke penempatan Felcra Keruak, terutamanya di kampung hujung di kawasan terbabit, yang melibatkan 100 akaun (pengguna berdaftar) aktif.

“Ia disebabkan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan keupayaan air di loji ini tidak mampu untuk sampai sebagaimana kawasan muka bumi biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.

Satu mohon naik taraf bekalan air

Menyedari hakikat itu katanya, pada tahun 2011, pihak Satu telah memohon peruntukan bagi menaik taraf bekalan air di Felcra Keruak dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan peruntukan yang besar bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jelas Husain, projek tersebut dijangka siap pada penghujung 2012, namun sehingga kini ia hanya siap sebanyak 80 peratus.

“Tujuan utama projek ini ialah selain menukar saiz paip baru yang lebih besar, ia juga bagi membina tangki simpanan dan juga menaik taraf ‘booster pump’ bagi memastikan tekanannya boleh disalurkan hingga ke kampung hujung sekali.

“Kita berpendapat jika menggunakan graviti, masalah tersebut tidak akan selesai. Sebaliknya projek ini akan memastikan tangki air yang besar dan mencukupi untuk tempat yang bermasalah. Sepatutnya projek ini sudah siap tetapi ia masih belum dapat disiapkan oleh kontraktor,” katanya.

Masalah disebabkan ujian pemasangan paip

Berkait dengan masalah ketiadaan air yang kini sedang berlaku, beliau berkata, ia disebabkan sebahagian punca air digunakan untuk membuat ujian pemasangan paip baru oleh kontraktor, tanpa memaklumkan kepada pihak Satu Daerah Besut.

“Apabila berlaku macam ini, tekanan air di kampung hujung yang sememangnya rendah dan ditambah pula punca bekalan diambil untuk diguna pakai untuk menguji tekanan paip air baru, maka berlaku kekurangan air yang mendadak sehingga mengganggu sistem agihan yang berlaku di Felcra Keruak.

“Ujian ini baru dibuat dalam tiga minggu yang lepas, tanpa merujuk kepada pihak Satu, menyebabkan masalah air yang tidak sampai kepada pengguna di kampung yang hujung. Jadi (masalah ini) kita hanya diberitahu pada 3 Mac lalu.

“Sebagai tindakan susulan, kita telah mengambil tindakan untuk mencari kerosakan dan punca bekalan air yang gagal berfungsi dan sehingga sekarang, kita sudah menggunakan pelbagai cara untuk mengatasinya bagi memastikan sistem agihan paip itu berfungsi,” katanya.

Jelasnya, tindakan secara teknikal kini sedang dibuat dan sehingga kini pihak Satu sedang berusaha untuk meningkatkan bekalan air dalam sistem agihannya.

Malah, pihak Satu telah menghantar pasukan teknikal ke tapak bagi mengatasinya dan sekarang ini, kerja-kerja ini sedang berjalan dan pihaknya menjangkakan ia dapat selesaikan dalam tempoh seminggu, untuk bekalan air dipulihkan.

Jamin hantar bekalan air

Bagaimanapun dalam tempoh tersebut, Husain memberi jaminan bekalan air secara manual dan lori tangki akan diteruskan secukupnya kepada pengguna.

“Ingin saya tegaskan, pengguna yang berdaftar hanya kira-kira 200 akaun (pengguna berdaftar) aktif dan kita jangka yang terlibat dengan masalah ini hanyalah 50 peratus, iaitu kira-kira 100 akaun (pengguna berdaftar) aktif.

“Kawasan yang terlibat pula adalah Felcra Keruak, Kampung Keruak dan sebahagian Kampung Bela’oh yang berada di kawasan tinggi,” katanya.

Jelasnya, pihak Satu kini membuat penghantaran sebanyak tujuh trip daripada pagi sehingga malam secara berperingkat di kampung-kampung yang terlibat.

Katanya lagi, pihak Satu kini sedang berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh seminggu bagi kemudahan penduduk kerana selain menjejaskan mereka yang terlibat, ia juga boleh menyebabkan kerugian dipihaknya. – SH


Scroll To Top