SK

Pendidikan Percuma di Selangor Peruntukkan 30juta

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM (Jun,13) Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi gambaran awal bahawa usaha melaksanakan pendidikan percuma di negeri ini mampu dilakukan di Universiti Selangor (Unisel), dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan cadangan menggunakan peruntukkan RM30 juta daripada penjualan tanah miliknya untuk membantu pentadbiran Unisel.

“Saya akan buat beberapa pengumuman berhubung perkembangan Unisel setelah mengadakan mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah tidak lama lagi.

“Dalam pertemuan itu, kita akan diberi penerangan dari segi jumlah pelajar dan status pentadbiran universiti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Air Selangor 2012, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengesahkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkenaan cadangan menggunakan wang RM30 juta itu untuk merintis program pendidikan percuma di Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengambil keputusan mencairkan aset Unisel sebagai langkah membantu pelajar yang dibekukan dari menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Unisel dijangka akan mengapungkan tanah miliknya seluas 200 hektar untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran bagi meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Walau bagaimanapun, pembekuan pinjaman PTPTN itu telah ditarik balik 8 Jun lalu, setelah timbul pelbagai reaksi bantahan dari pelbagai pihak terhadap tindakan pembekuan tersebut. -SuaraPakatan