klpost

Pendedahan peneroka diminta bayar lebih daripada jumlah pinjaman saham (FGVH)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BANDAR JENGKA: Harapkan dapat saham percuma, rupa-rupanya dikira hutang. Sudahlah begitu, jumlah hutang yang dicaj pula melebihi daripada harga sebenar.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan, sepatutnya peneroka perlu membayar balik pinjaman untuk 800 unit saham Felda Global Venture Holding (FGVH) sebanyak RM3,640 (pada harga terbitan RM4.55), sebaliknya peneroka perlu membayar RM4,000.

Serentak dengan itu beliau menggesa Felda memberi penjelasan mengenai jumlah bayaran balik pinjaman untuk saham yang tidak mengikut harga sebenar atau berhadapan dengan saman peneroka.

“Setiap negeri membuat pinjaman melalui bank yang berbeza. Peneroka Felda di Johor contohnya melalui Maybank, mereka diminta membayar semula pinjaman sebanyak RM5,000. Bagi negeri Pahang pinjaman melalui CIMB yang dikenakan caj RM4,000

“Sekiranya setiap peneroka di negeri ini terpaksa membayar RM4,000 berbanding jumlah sebenar, ke mana perginya lebihan wang RM360 bagi setiap peneroka yang membayar baik hutang saham tersebut?

“Bayangkan sekiranya setiap peneroka membayar RM360, dengan andaian kira-kira 80,000 peneroka yang membeli saham tersebut secara hutang, ia bermakna terdapat lebihan berjumlah lebih RM28 juta,” katanya dalam sidang media di Jengka 19 di sini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda (Bangkit) Pahang Abdul Rahim Abdul Rahman, Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan Timbalan Pengerusi Anak Aris Fezul Ismail.

Tambah Mazlan, persoalannya mengapakah jumlah yang perlu dibayar tidak sama dengan hutang saham yang diterima dan siapakah yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada hutang saham peneroka.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, beliau mengetahui perkara tersebut melalui peguam Harris Abdullah yang menyerahkan dokumen berkaitan kepadanya yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar peneroka kepada pihak bank dan ia ditulis menggunakan pen.

Katanya, pada awal proses mendapatkan saham itu, peneroka diminta menandatangani borang kosong dan kali kedua pula dengan mengisi borang biru.

“Kita sudah membuat road-show menasihatkan peneroka supaya tidak menandatangani borang kosong kerana ia berisiko dan terdedah kepada tindakan manipulasi, malangnya tidak ramai yang percaya.

“Masih ramai peneroka tidak sedar mereka sebenarnya telah tertipu, malah masih ramai yang tidak tahu perkara ini dan ada antaranya masih menganggap saham yang diberikan adalah percuma, sehinggalah mereka menerima surat tuntutan bayaran pinjaman semula ini,” katanya sambil menunjukkan surat tuntutan bank berkenaan.

Beliau berkata, kebimbangan yang diramalkan Anak selama ini menjadi kenyataan dan ia terbukti menerusi maklumat terbaru itu.

Dalam pada itu, Mazlan berkata jika tiada sebarang jawapan daripada Felda atau bank berkaitan tuntutan melebihi hutang Anak akan meminta peneroka membuat laporan polis kerana menganggap ia sebagai satu penipuan.

“Kami sebagai anak peneroka berasa simpati dengan nasib peneroka yang tertipu dengan janji kosong yang mengatakan mereka akan menjadi jutawan sebaik saja saham FGHV disenaraikan.

“Kini mereka terpaksa menanggung lebih banyak bebanan hutang selain terpaksa membayar semula wang pinjaman rumah dan kos penanaman semula sekitar RM50,000 hingga RM60,000,” katanya.

Mazlan berkata, kebanyakan peneroka kini berusia 70 hingga 80 tahun, namun masih dibebani dengan masalah hutang.

“Mereka tidak meminta untuk berhutang sebaliknya dipaksa untuk berhutang. Seandainya mereka ini mati nanti, bagaimana mereka mahu menghadap Tuhan dengan hutang yang masih belum dibayar?,” soalnya. – Harakah