klpost

Melayu, Cina, dua kali lima! – Oleh Fa Abdul

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Pukul pemandu kereta

Beberapa hari lalu, saya seronok melayan mak dan ayah saya bercerita tentang zaman mereka muda-muda dulu. Dengan berbekalkan teh tarik halia dan mihun goreng, kami bersembang panjang lebar mengenai pelbagai subjek, daripada kos hidup sehinggalah nilai kekeluargaan pada zaman tersebut.

Celoteh kami akhirnya mula menyentuh soal toleransi masyarakat dahulu. Dan ayah saya dengan rancak menceritakan pengalamannya.

‘Masa ayah muda-muda dulu, ada satu kawasan Cina di Jalan Perak, Pulau Pinang. Di kawasan tersebut, jika terjadinya apa-apa kemalangan di antara pemandu kenderaan yang bukan Cina dengan mangsa kemalangan yang berbangsa Cina, memang dinasihatkan jangan keluar dari kenderaan, sebaliknya pandu terus ke balai. Sebabnya, penghuni-penghuni Cina di kawasan tersebut akan bertindak memukul pemandu tanpa soal periksa.”

“Pernah ada insiden pemandu berbangsa Melayu keluar dari kereta untuk membantu mangsa penunggang basikal berbangsa Cina yang tiba-tiba meluru masuk ke jalan, tapi belum sempat dia bantu, pemandu itu pula yang perlukan bantuan sebab dipukul lebih teruk daripada kecederaan yang di alami oleh penunggang basikal tu.”

“Tapi bukan Cina saja yang buat macam tu, Melayu pun sama,” ujar mak saya pula.

“Dekat kawasan Kampung Dodol dulu pun macam tu juga. Kalau pemandu bukan Melayu melanggar orang Melayu, habis riuh satu kampung nak tibai pemandu tu. Mak sendiri pernah tengok – bila terjadi saja kemalangan, mereka datang berduyun dan akan periksa dulu siapa pemandunya. Kalau sama-sama Melayu, lain ceritanya – mereka akan sama-sama tolong mangsa tu. Tapi kalau bukan Melayu, habis kena pukullah jawabnya. Kalau Cina tu, kena pukul saja lah. Tapi kalau India, habis kena pukul dan diherdik menggunakan kata-kata cacian.”

Mendengar cerita tersebut, saya teringat akan kes lelaki Cina yang dipukul gara-gara membunyikan hon kenderaan ketika solat Jumaat sedang berlangsung di sebuah surau di Johor Bahru. Lalu saya minta pandangan mak dan ayah berkenaan isu tersebut.

“Datuk Nur Jazlan kata insiden tu adalah bukti tak ada toleransi dalam masyarakat.”

Belum sempat saya habiskan ayat, mak sudah mencelah, “Ini bukan soal orang bunyikan hon masa jemaah tengah solat Jumaat.”

“Habis? Soal apa pula?” tanya saya, keliru.

“Ini soal orang CINA bunyikan hon masa orang MELAYU tengah solat Jumaat,” ujar mak.

Saya tersenyum sumbing.

“Kalaulah yang bunyikan hon tu adalah seorang lelaki Melayu, tentu dia takkan kena pukul!”

Hmm, betul juga kata mak saya tu. Ia mungkin dilihat sebagai isu toleransi jika dilihat dari luaran sahaja tetapi sesungguhnya isu ini lebih mendalam akar umbinya – ini adalah soal perkauman yang tak pernah lekang daripada persada tanahair kita.

Soal perkauman

Saya teringat seorang rakan Melayu yang tidak membenarkan anak-anaknya berkawan dengan pelajar bukan Islam di sekolah – “Tak naklah diorang jadi rapat sangat, payah nak jaga kehalalan makan minum nanti,” alasan yang diberi.

Dan ada juga kenalan berbangsa Cina yang tidak membenarkan anak-anaknya bergaul dengan budak-budak Melayu dan India di sekolah- “Lebih baik bergaul dengan pelajar Cina lain yang lebih pandai,” katanya.

Cuma kenalan berbangsa India sahaja yang tidak kisah dengan siapa anak mereka berkawan, kecuali kaum sejenis – “Kalau budak berkawan antara mereka, mesti sibuk cakap Tamil dan sembang pasal dunia hiburan!” katanya.

Saya juga ada seorang kenalan Melayu yang mencari rumah sewa bagai nak rak, tetapi menolak semua rumah sewa yang ditemuinya semata-mata kerana ia berjirankan bukan Melayu – “Depa masak babi, habislah busuk rumah aku!” ujarnya.

Peliknya, kawan berbangsa Cina saya pula bila ditanya, juga tak mahu berjirankan Melayu dan India, katanya, “Melayu mesti bising kalau saya bela anjing. Dan yang India pula tiap-tiap hari mesti ada bau kari.”

Cuma rakan berbangsa India saja yang tidak kisah berjiran dengan sesiapa sahaja – kecuali kaum sejenis. Dia sendiri pun tak tau mengapa.

Buang yang keruh, ambil yang jernih

Dalam pada saya leka berfikir, mak bertanya, “Kita pun apa kurangnya, apabila kita pandu masuk jalan yang sesak sebab kiri kanannya penuh dengan kereta yang diparkir oleh jemaah masjid, kita sabar je. Tapi masa pandu kereta musim Thaipusam habis riuh satu kereta asyik komplen pasal kesesakan. Macam tu juga masa jalan kat taman perumahan ditutup sebab ada kematian orang Cina – boleh saja kita guna jalan lain, tapi bisingnya saja yang lebih.”

Saya tersenyum. Lontaran mak tepat mengena hidung mancung saya. Adoi.

“Merungut itu perkara biasa la mak. Bukannya macam kita hambat mereka pakai kon!” saya pertahankan diri.

“Kalau merungut tu perkara biasa, mengapa tak merungut setiap Jumaat?” tanya mak.

Saya tersenyap.

“Sedaplah mihun goreng ni,” tiba-tiba ayah mencelah, cuba meredakan keadaan tegang di ruang tamu.

“Pekena dengan teh halia lagi best,” kata mak pula, sambil menyokong hasrat ayah menukar topik perbualan.

Saya tersenyum. Sesungguhnya kita rakyat Malaysia memang pandai tukar topik apabila keadaan semakin ‘panas’.

Mungkin itu jugalah sebabnya rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak lagi membicarakan mengenai isu panas yang berlaku di luar surau di Johor Baharu tempoh hari. Itulah cara kita ‘bertoleransi’.

Bak kata pepatah, ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ – cuma kita alpa pada hakikat bahawa air keruh yang dibuang itu mungkin akan timbul kembali satu masa nanti. Patutlah dari zaman muda mak dan ayah saya sehinggalah sekarang, tak habis-habis kita bergelumang dengan ‘kekeruhan’ yang sama.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post.