klpost4

Pemilihan ‘CEC’ DAP, tiada ketelusan dan suara demokrasi dinafikan – VS Mogan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat (CEC) di Kongres DAP ke 16 yang diadakan di Pulau Pinang pertengahan Disember lalu dikhabarkan berlaku kesilapan lantaran memperagakan sandiwara politik untuk agenda mereka, kata Ketua Penerangan MIC, Datuk V S Mogan.

Ujarnya, jika selama ini pakatan pembangkang termasuklah DAP sering melontarkan tuduhan terhadap kerajaan dengan mendakwa tidak demokrasi maka apa yang belaku dalam CEC baru-baru ini adalah bukti bahawa tuduhan tersebut lebih sesuai untuk mereka sendiri.

“Secara jelas menunjukkan bahawa pemilihan yang diadakan dalam CEC terbabit tidak ada ketelusan apabila suara demokrasi dinafikan yang kemungkinannya pindaan dibuat yang diakui atas nama kesilapan kerana ada tujuan tertentu yang tersembunyi,” katanya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan, sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini menyatakan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini berada pada kedudukan 20.

“Persoalannya kenapa tidak dilakukan pemilihan sekali lagi kerana mereka sendiri sering menuduh pihak lain tidak telus dan tidak demokrasi malah lebih buruk apabila sanggup mengadakan perhimpunan jalanan sebagaimana Bersih 1 dan Bersih 2 atas tuntutan kepada SPR dan kerajaan.

“Seeloknya pakatan pembangkang ini ukurlah baju di badan sendiri tanpa menjaga tepi kain orang kerana apa yang berlaku sekarang ini secara jelas menunjukkan wujudnya kepincangan bukan saja dalam pemilihannya tetapi juga ada perancangan politik.”

Tegas beliau lagi, parti-parti pembangkang tidak layak untuk membuat sebarang tuduhan kepada SPR kerana apa yang berlaku dalam keputusan pemilihan CEC yang kemudiannya diakui berlaku kesilapan adalah sesuatu yang sangat mengaib dan memalukan. – MediaUMNO