klpost2

Pembunuh misteri kerusi roda terdedah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

MELAKA  –  Seorang penjawat awam ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja kedai tayar di Merlimau Selasa lepas.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada pukul 9.30 pagi tadi dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Mohamad Fazrinnizam Ramli, 24, dari Taman Seri Duyong 2.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata polis telah merekodkan kenyataan suspek dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Lelaki tersebut merupakan rakan mangsa dan kita percaya dia dapat membantu menyelesaikan kes ini kerana dia juga merupakan salah seorang daripada tiga lelaki yang menghantar mangsa ke sebuah Poliklinik di Merlimau sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, mangsa dihantar tiga lelaki ke Poliklinik berkenaan selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala, namun mangsa disahkan meninggal dunia sejurus kemudian.

Raja Shahrom berkata polis kini sedang mengesan dua lelaki yang turut menghantar mangsa ke poliklinik tersebut selain seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan objek tumpul dan pihaknya masih mencari senjata tersebut.

Katanya kejadian berkenaan dipercayai berkaitan dengan seorang wanita, namun motif dan punca sebenar pembunuhan tersebut masih dalam siasatan.- Bernama