klpost

Pembahagian kerusi Pakatan Harapan hanya untungkan DAP – Idris Jusoh

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembahagian kerusi Parlimen untuk ditandingi parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya menguntungkan DAP.

Beliau mendakwa kerusi yang diberikan kepada Bersatu, PKR dan Amanah adalah di kawasan yang parti itu tidak boleh menang.

Katanya ini jelas menunjukkan DAP terus mempergunakan orang Melayu khususnya Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk memecah-belahkan undi orang Melayu.

“Saya kesian dengan Tun Mahathir kerana beliau telah terjebak dengan strategi DAP untuk memecah-belahkan undi Melayu.

“Saya ingin memberi peringatan kepada orang Melayu khususnya jangan terikut-ikut dengan agenda DAP. Mereka tidak akan menerima perjuangan Islam dan Melayu,” kata ahli Parlimen Besut itu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Temu Murni Pesara Besut di Terengganu hari ini.

Ahad lepas PH mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen itu pada PRU14 iaitu Bersatu (52), PKR (51) DAP (35) dan Amanah (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Idris berkata orang Melayu perlu meneliti dan mengkaji bahawa DAP bukanlah sebuah parti yang terbaik untuk menerajui pemerintahan Malaysia. – Bernama