klpost

Pelancong cedera ditikam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Tikam1
George Town
– Seorang pelancong lelaki Thailand cedera di beberapa bahagian badan selepas ditikam pelanggannya yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan seks luar tabie di sebuah hotel di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berusia 28 tahun berasal dari Phuket itu bercuti di negeri ini sejak 15 Mei lepas dan mengenali seorang lelaki yang dikenali sebagai Tommy menerusi laman sosial Wechat kira-kira dua jam sebelum menemui lelaki terbabit.

“Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, suspek dikatakan ke bilik hotel pelancong berkenaan untuk urusan perkhidmatannya. Mangsa bersetuju untuk melayan suspek hanya selepas mendapat bayaran yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika urus niaga itu dibuat suspek mengeluarkan pisau daripada poketnya dan menikam mangsa serta berlaku pergelutan antara mereka sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

Mangsa yang luka di perut, belakang badan, tangan, leher dan muka itu mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilapor dalam keadaan stabil.

Anuar berkata, polis telah mendapatkan rakaman CCTV di hotel itu dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek berusia 30-an yang telah dikenal pasti. – Bernama