klpost

Pelakon lelaki bersama dua rakan ditahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Polis menahan seorang pelakon lelaki berusia 25 tahun bersama dua lagi rakannya kerana disyaki memiliki ganja seberat 5.97 gram yang disembunyikan di dalam keretanya di Jalan Bukit Setiawangsa, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju telah menahan kereta jenis Honda Jazz milik pelakon terbabit di sebuah stesen minyak di sini.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu bekas tin aluminium yang di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dan leraian daun-daun kering disyaki ganja bersama alat menghisap ganja yang disembunyikan di bawah kerusi pemandu.

“Pelakon itu bersama dua rakannya yang berusia 20 dan 24 tahun ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mazlan berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan didapati tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 37A(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama