klpost

Pelakon bergelar Datuk direman lagi

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Pelakon bergelar Datuk yang ditahan bagi siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM6.2 juta direman sekali lagi.

Kali ini, mahkamah membenarkan permohonan reman selama dua hari bermula hari ini ke atas suspek bersama tiga lagi yang ditahan termasuk seorang wanita.

Ini adalah kali keempat pelakon berkenaan dikenakan tahanan reman selepas melalui proses yang sama selama dua hari di Ampang, Selangor dan di Muar, Johor dan tiga hari di Shah Alam, Selangor sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan kepada mahkamah bagi meneruskan siasatan kes penipuan membabitkan dua syarikat yang menawarkan rumah pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran.

“Kesemua empat suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

“Kita sedang dalam proses melengkapkan siasatan, kita memohon untuk perintah reman empat suspek terbabit termasuk seorang pelakon bergelar Datuk dan seorang wanita hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan, Acryl berkata, pihaknya masih mengesan seorang lagi individu bagi membantu siasatan.

“Kita masih lagi cuba untuk mengesan seorang individu bernama Zubir Yahya atau dikenali sebagai Ustaz Zubir.

“Kepada yang mempunyai maklumat mengenai Ustaz Zubir, diminta tampil memaklumkan kepada polis dengan segera,” katanya.

Pada 2 dan 3 Oktober lalu, seorang pelakon bergelar Datuk dan tiga yang lain ditahan susulan 188 laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditipu dua syarikat menawarkan rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, iaitu kira-kira RM60,000 untuk sebuah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

Selepas pembeli melunaskan bayaran, syarikat berkenaan tidak menjalankan pembinaan rumah seperti dijanjikan.

Sehingga Jumaat lalu, jumlah laporan polis yang dibuat mangsa bertambah kepada 210 laporan dari seluruh negara, membabitkan projek di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BH Online