klpost

Pelajar tingkatan 2 telah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GEORGE TOWN — Dua pelajar tingkatan dua, S.Rama Murthi dan R.Sri Arivesh, kedua-duanya berusia 14 tahun, telah mengharumkan nama negara di dunia dengan memenangi hadiah pertandingan “Genius Olympiad 2012 Interantional High School Project Fair on Environment” di New York, Amerika Syarikat.

Kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dari Kulim, Kedah, itu menang tempat ketiga dengan ciptaan alat sistem penggera yang diberi nama Neighbours Wonder dalam pertandingan yang disertai 246 pelajar dari 50 buah negara.

Alat ciptaan tersebut boleh membantu pengguna yang dalam kecemasan meminta pertolongan jiran menerusi alat penggera tanpa wayar yang boleh dipasang secara selari di semua rumah dalam sesebuah kawasan perumahan.

Rama Murthi memberitahu pemberita di sini hari ini, alat penggera itu dipasang dengan pengecas bergerak dan sistem itu boleh dihubungkan di antara rumah-rumah.

Menurut pelajar tersebut, ilham mencipta alat itu lahir daripada konsep semangat 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana alat berkenaan boleh mewujudkan semangat kerjasama antara jiran tanpa mengira kaum.

“Kami membelanjakan kira-kira RM300 membuat model alat sistem bunyi Neighbours Wonder ini untuk dipamerkan pada pertadingan dan kami bangga kerana menang,” kata seorang lagi pelajar, R. Sri Arivesh.

Kedua-duanya adalah peserta termuda berbanding peserta-peserta lain yang rata-rata berumur antara 16 hingga 17 tahun dalam pertandingan berlangsung dari 24 hingga 29 Jun lepas di Oswego, New York, Amerika Syarikat. — BERNAMA