SK

Pelajar menjadi mangsa Politik Murahan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM (9 JUN) : Tindakan bolak balik(flip- flop) Kerajaan Pusat dalam isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) terhadap mahasiswa baru Universiti Selangor (Unisel) dianggap sebagai tidak matang oleh mahasiswa yang ditemui.

Seorang pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, S Jamunah,19, berkata, sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak wajar mencampuradukkan perbezaan pendapat politik sehingga bersikap diskriminasi terhadap golongan pelajar.

“Kami mohon agar janganlah dipolitikkan isu-isu pendidikan ini sehingga menjejaskan kami kerana kami masuk ke universiti bukan untuk berpolitik tetapi untuk belajar dan mengejar cita-cita kami.

“Tindakan ini juga tidak adil kepada kami sedangkan kami juga seperti pelajar-pelajar lain yang berhak untuk mendapat pinjaman bagi membiayai pendidikan kami apatah lagi kami juga bukan daripada golongan yang berada,” ujar Jamunah sambil berharap berita penarikan pembekuan PTPTN itu bukan drama politik semata-mata.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Anas Basir A. Bakar,19, meluahkan rasa kurang selesa dengan senario politik hari ini yang dilihat semakin sakit.

“Sejak isu pembekuan ini timbul, saya sememangnya tidak bersetuju dan membantah keras tindakan tersebut kerana merasakan semua ini sebagai permainan politik yang kotor dan lebih kepada dendam.

“Lebih menyedihkan, kami sebagai pelajar pula yang terpaksa menjadi mangsa politik tidak sihat sebegini sedangkan kami ini golongan yang seharusnya di beri perhatian tanpa sebarang prejudis kerana kami tunggak negara di masa hadapan,” luah Anas yang kini berada di tahun kedua jurusan perakaunan.

Ditanya pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang hebat dibincangkan akhir-akhir ini, Marfika Adnan Haris Fadzilah, 21, berkata, beliau bersetuju seandainya dasar berkenaan tidak membantutkan pembangunan serta kemajuan negara.

“Semestinya saya bersetuju seandainya ia benar-benar mampu dilaksanakan dan yakin dasar sebegitu pasti memberi manfaat kepada sumber tenaga kerja rakyat negara ini secara keseluruhannya,” kata pelajar jurusan kewartawanan yang berasal dari Perak ini.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan mengumumkan pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat tindakan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Unisel.

Bagaimanapun, seperti seperti diumumkan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad, pembekuan pinjaman tersebut secara rasminya balik dan pelajar-pelajar baru juga sudah boleh membuat permohonan pinjaman secara atas talian bermula semalam.

Dalam pada itu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didesak untuk memecat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dengan segera.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata, tindakan Khaled membekukan pinjaman  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) merupakan tindakan berunsur politik yang menunjukkan  rendahnya kematangan dan profesionalisme beliau.

“Semata-mata untuk menjadikan diri sebagai wira Umno, beliau sudi menggadaikan masa depan mahasiswa.

“Malang lagi, tindakan beliau disokong dengan kuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yasin,” ujarnya yang juga Adun Bukit Lanjan dalam kenyataan media.

Tegas Elizabeth, permainan politik sebegini tidak boleh diterima oleh rakyat Selangor dan Malaysia secara amnya.

“Kekecewaan saya amat tinggi kerana tindakan beliau (Khaled) menjadikan mahasiswa sebagai mangsa sambil meningkatkan keresahan ibubapa yang inginkan pendidikan sebagai penjamin masa depan cerah bagi anak mereka.

“Sebagai usaha jangka pendek untuk membantu mahasiswa dan ibu bapa mereka, Kerajaan Negeri Selangor  bersedia untuk mengumpul sebanyak RM30 juta bagi tujuan bantuan kewangan pelajar,” katanya.

Tambah Elizabeth, tindakan pembekuan pinjaman PTPTN oleh Khaled itu  dibatalkan semalam.

“Walau bagaimanapun, jika beliau tidak dihukum dan dibiarkan terus bertugas sebagai menteri, ini membuktikan Umno-BN tidak mengambil perkara ini dengan serius,” ujarnya. – Selangorku