klpost

Pelajar melecur alat barbeku meletup

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Kegembiraan 20 pelajar yang sedang membuat persiapan untuk jamuan Aidilfitri di sebuah sekolah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, bertukar tragedi apabila alat berbeku meletup menyebabkan mereka melecur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi tadi, tiga pelajar melecur teruk.

Kejadian berlaku apabila 20 pelajar lelaki sekolah itu yang berusia 16 dan 17 tahun, dikatakan sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan Aidilfitri di sekolah mereka sebelum alat barbeku yang digunakan meletup.

Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata beliau dan rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangi seorang guru lelaki sekolah mereka yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan ”thinner” bagi mempercepatkan api dinyalakan.

“Saya lihat kali pertama ”thinner” dicurahkan ia menyambar dengan kuat dan kami amat terkejut sebelum guru kami mencurahkan untuk kali kedua dan berlaku satu letupan kuat.

“Letupan kuat itu menyebabkan tiga pelajar termasuk saya melecur teruk. Guru terbabit juga melecur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tun Razak di sini. – BERNAMA