klpost

Pelajar dibelasah 7 senior hingga tidak sedar diri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Bandar Penawar: Hanya kerana salah faham dengan pelajar junior, seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di sini, dibelasah sekumpulan pelajar senior hingga pengsan.
Dalam kejadian jam 1 pagi Isnin lalu, Muhamad Amirul Mukmin Mohd Yusmiza, 17, dipukul enam hingga tujuh pelajar lain hingga lebam belakang badan dan pahanya.

Sehari sebelum itu, Amirul dikatakan meminta seorang pelajar Tingkatan Tiga yang membuat bising kira-kira jam 11 malam di hadapan biliknya supaya beredar kerana mengganggu tidurnya menyebabkan pelajar terbabit mengadu kepada senior lain.

Pada jam 1 pagi, dua pelajar junior datang mengejutkan saya dan memberitahu ada sekumpulan pelajar mahu berjumpa saya.

Seorang daripada mereka menyoal, adakah saya memarahi pelajar Tingkatan Tiga, saya tidak mengaku kerana saya cakap secara baik supaya beredar dan tidak membuat bising, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Amirul, atlit pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) dalam acara olahraga, berkata pelajar terbabit tidak berpuas hati dan memukulnya bersama beberapa rakan lain, selain menendang serta menumbuk bahagian belakang, perut dan dadanya.

Ketika itu keadaan amat gelap dan saya hanya menundukkan diri bagi mengelak kepala dipukul selain tidak mampu melawan kerana mereka terlalu ramai hingga saya pengsan.

Disedari jurulatih

Saya sedar jam 5 pagi ketika rakan bilik saya kejut untuk bangun bersahur.

Jurulatih yang mengetahui serangan itu membawa saya membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Penawar dan dirujuk ke Hospital Kota Tinggi (HKT), katanya.

Bapa mangsa, Mohd Yusmiza Mohd Yunus, 41, berkata sejurus mengetahui kejadian menimpa anaknya, beliau bergegas dari Rompin ke HKT bagi melihat keadaan Amirul.

Ketika saya bertemu pengurusan sekolah, mereka mahu menyelamatkan dua daripada tujuh pelajar terbabit, membuatkan saya tidak berpuas hati, katanya.

Amirul yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, pernah merangkul pingat emas dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dua tahun berturut-turut iaitu pada 2011 dan 2012 dalam acara 100 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, berkata setakat ini enam pelajar sekolah berkenaan berusia 18 tahun ditahan, kelmarin untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil. – BH

(Gambar hanya hiasan)