klpost4

Pelajar 19 tahun ditemui maut dalam keadaan ngeri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Seremban Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di bandar ini ditemui mati, dipercayai dibunuh, dengan kesan kelar di leher di rumah bapa saudaranya di Taman Desa, Mantin, dekat sini, malam kelmarin.

Mayat S Sintuja, 19, yang berasal dari Temerloh, Pahang, ditemui sepupunya dalam keadaan terbaring di atas lantai di bilik tidur, jam 8.30 malam, sebelum menghubungi bapanya.

Sumber berkata, si mati yang masih menuntut di Kolej Tafe, Sikamat, dekat sini, dikatakan kerap bermalam di rumah bapa saudaranya pada cuti hujung minggu.

“Hasil siasatan awal, bapa saudara mangsa memberitahu pada setiap petang Jumaat, dia membawa balik mangsa ke rumahnya sebelum menghantar pulang ke kolej kediaman pada Ahad.

“Mangsa sudah setahun menuntut di kolej berkenaan dan menetap di asrama kolej,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, ketika mayat ditemui, semua pintu di dalam rumah dalam keadaan tidak berkunci, dan tiada kesan pecah masuk atau barangan hilang.

“Sebilah pisau turut ditemui di atas katil berdekatan mayat mangsa,” katanya.

Kata sumber itu, daripada keterangan bapa saudara mangsa, dia keluar dari rumah sekitar jam 6 petang sebelum menerima panggilan daripada anaknya mengenai kejadian itu, jam 9 malam.

Beliau berkata, susulan itu polis kini menahan reman bapa saudara dan sepupu mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

Menurutnya, setakat ini polis masih mengenal pasti motif kejadian dan siasatan dijalankan dari segenap aspek.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat,” katanya.  –  HM