klpost

Pekerja zoo maut dibaham harimau putih

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUCHING  – Pekerja pencuci Zoo Singapura, Nordin Montong, 32, yang maut dibaham tiga ekor harimau putih, pernah berhasrat menyimpan duit untuk berkahwin semasa perbualan terakhir mangsa dengan kakaknya.
Hasrat itu disampaikan oleh mangsa kepada kakaknya, Nora, 34, yang turut memberitahu untuk pulang bercuti.

Beliau berkata, adiknya baru lima bulan bekerja di Singapura melalui agensi pekerjaan di negara tersebut dan kerap menelefon keluarga bagi bertanyakan khabar.

”Apa yang menghairankan kami sekeluarga ialah bila arwah tidak menelefon kami pada pagi hari kejadian dan hanya dimaklumkan dengan berita sedih itu oleh pihak zoo pada tengah hari yang sama.

”Kami tidak menyangka perkara begini akan berlaku terhadap arwah kerana dia tidak menunjukkan sifat yang pelik sebelum kejadian tersebut berlaku,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Melayu Tabuan di sini.

Normah menambah, keluarganya mengucapkan terima kasih kepada pihak agensi pekerjaan dan Kedutaan Malaysia di Singapura yang menguruskan penghantaran jenazah arwah ke Kuching.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan Terminal Maskargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejurus tiba jenazah Nordin di situ pada pukul 3.15 petang.

Ketibaan jenazah turut disambut oleh seramai 30 ahli keluarga mangsa yang menunggu sejak pukul 2 petang dan turut dihadiri wakil agensi pekerjaan Nordin di Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Jason.

Jenazah Nordin kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sambir dekat Asajaya di sini.

Sementara itu, Jason berkata, punca kematian Nordin masih dalam siasatan pihak polis Singapura.

Katanya lagi, kejadian itu turut mengejutkan pekerja zoo berkenaan kerana Nordin dikenali sebagai seorang yang baik.

”Cuma ketika hari kejadian tersebut berlaku, semua hairan dengan kelakuan aneh Nordin yang membuang dompetnya ke dalam kolam buaya sebelum didapati berada di dalam kawasan harimau putih itu pula.

”Jadi, sebelum selesai siasatan polis, saya harap jangan sesiapa menyalahkan mana-mana pihak dengan membuat spekulasi tertentu,” katanya.

Jason menambah, syarikatnya akan membayar insurans milik Nordin kepada wakil ahli keluarganya. – Agensi