klpost

Pegawai polis trafik wanita direman 5 hari

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Klang
– Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas seorang pegawai polis trafik wanita berpangkat inspektor selama lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta rasuah berjumlah RM2,000, tiga hari lepas.

Perintah tahanan reman ke atas wanita berumur 28 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasatnya di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan ditahan SPRM kira-kira pukul 4.05 petang semalam di pejabat balai trafik daerah berkenaan.

Menurut sumber SPRM, pegawai polis trafik itu ditahan susulan laporan oleh seorang lelaki berumur 35 tahun yang mendakwa wanita terbabit meminta wang balasan bagi melepaskan kenderaannya jenis ‘Sports Utility Vehicle’ daripada disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Lelaki itu mendakwa pegawai polis trafik wanita itu meminta wang berkenaan daripadanya kira-kira pukul 11.45 malam, dua hari lepas, sebelum dia membuat laporan kepada SPRM semalam. – Bernama