klpost

PDRM diminta siasat pendedahan Deepak

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Sebuah NGO mendesak polis bertindak serius dengan meneruskan siasatan berhubung pendedahan yang dibuat peniaga permaidani Deepak Jaikishan tentang dua akuan bersumpah penyiasat bebas P Balasubramaniam.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, pengakuan Deepak bahawa beliau membantu Bala dalam membuat akuan bersumpah kedua ternyata relevan.

Dalam akuan bersumpah pertama, Bala mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu.

Manakala dalam akuan bersumpah kedua yang dibuat pada hari berikutnya, Bala menafikan penglibatan Najib dan Rosmah dalam peristiwa pembunuhan Altantuya.

Fariz menegaskan bahawa pendedahan dan pengakuan dibuat Deepak ternyata serius dan turut melibatkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) yang didakwa bertindak menutup kes tersebut.

“Kebanyakan orang melihat ada dua akuan bersumpah.  Sebenarnya sama ada wujud akuan bersumpah pertama, kedua atau ketiga, itu tidak penting. Yang penting ialah kebenaran yang akan keluar,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi hari ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga mendesak agar Peguam Negara membuka semula perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

“Ini kerana timbul elemen baru berkaitan dengan pendedahan Deepak bahawa wujud saksi terlibat secara langsung dalam kes pembunuhan Altantuya,” jelas Fariz, sambil menambah, SPRM juga harus membuka semula siasatan kes tersebut.

Menurut Fariz, pendedahan dibuat Deepak bukan sahaja bertujuan untuk menutup akaun bersumpah dibuat Bala tetapi untuk menyekat pembongkaran yang lebih besar.  – FMT