klpost

PDRM buat promosi bukan lagi mencegah jenayah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ketika kes jenayah yang berlaku di pusat membeli belah terus menjadi tajuk utama, sepasukan anggota polis membuat lawatan simbolik ke salah sebuah pusat membeli-belah paling popular di ibunegara untuk sesi bertemu dan beramah mesra dengan para pengunjung.

Mereka datang bukan dengan bersenjatakan belantan, gari dan peralatan mengawal jenayah, tetapi sebaliknya kumpulan lelaki beruniform biru itu tiba dengan berbekalkan senyuman sambil membawa beg cenderahati semasa mengunjungi Midvalley Megamall semalam.

Diketuai Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene dan pegawai tinggi polis kontinjen Kuala Lumpur, rombongan tersebut dilihat beramah mesra dengan para pengunjung pusat membeli-belah tersebut.

Mortadza juga mempamerkan bakat menyanyi dengan diiringi oleh pemuzik yang berpakaian seragam polis.

Sepanjang kunjungan tersebut, Mortadza diiringi, antaranya, oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, Timbalannya Amar Singh dan Ketua Polis Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mortadza berkata polis bersedia untuk melatih pengawal keselamatan dalam bidang pertahanan diri dan prosedur bantuan kecemasan, lapor Bernama.

Mortadza berkata, pengawal keselamatan perlu menjalani latihan tersebut kerana ia juga boleh mengajar mereka bagaimana untuk memastikan setiap ruang di dalam pusat membeli belah, terutamanya kawasan parkir, selamat.

Bagi jenayah yang melibatkan mangsa wanita, beliau mencadangkan pengendali pusat membeli belah menyediakan ruang khas untuk wanita supaya mudah bagi pengawal keselamatan memantau dan memberi tumpuan ke atas kawasan berkenaan.

Beliau juga yakin dengan keselamatan di kawasan tempat letak kereta di pusat membeli-belah kerana pihak polis telah meningkatkan rondaan mereka di kawasan itu, terutama di kawasan Bukit Bintang.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian jenayah di pusat membeli belah dianggap rendah kerana hanya enam laporan yang diterima di Selangor dan dua di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohmad menyarankan supaya pihak pengurusan pusat membeli-belah segera menaik taraf sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing bagi memudahkan polis membuat rujukan sekiranya sesuatu jenayah berlaku di kawasan tersebut.

Ketua polis Kuala Lumpur itu berkata kegagalan CCTV berfungsi sepenuhnya merupakan antara faktor siasatan kes jenayah di pusat membeli-belah tidak dapat diselesaikan segera.

“Untuk itu, saya minta pusat beli-belah menaik taraf CCTV mereka kerana daripada kes-kes jenayah sebelum ini ada CCTV tidak berfungsi dengan baik seperti tidak dapat merakam gambar menyebabkan ia tidak dapat diguna apabila diperlukan polis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan 89 ketua unit keselamatan 80 pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata peranan CCTV dalam menangani jenayah tidak harus diketepikan kerana fungsinya menjadi antara faktor penting yang mampu menyumbang kepada usaha mengurangkan masalah jenayah di pusat beli-belah dan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum polis ketika ini.

Mohmad berkata dalam mesyuarat lebih dua jam dengan ketua-ketua unit keselamatan pusat membeli-belah itu, pihaknya telah bersetuju untuk mewujudkan seorang polis perantara bagi setiap pusat membeli-belah bagi memudahkan ketua keselamatan merujuk jika sesuatu kejadian jenayah berlaku.

Beliau turut berpendapat bahawa kereta peronda polis harus dibenarkan memasuki ke kawasan pakir bawah tanah pusat membeli-belah untuk mewujudkan situasi yang polis berada di mana-mana bagi mengurangkan kejadian jenayah.

“Selain itu, saya juga minta pemilik pusat membeli-belah turut mengambil tanggungjawab sendiri bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di premis mereka kerana keadaan yang selamat pastinya memberi imej positif kepada pusat perniagaan itu sendiri,” katanya.

Mengenai kejadian jenayah yang berlaku di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur yang digembar-gemburkan sebagai makin teruk, Mohmad berkata keadaan sebenar adalah sebaliknya di mana untuk tempoh separuh pertama tahun ini, hanya sembilan kes jenayah yang berlaku iaitu empat kes di pakir bawah tanah dan selebihnya adalah kes di luar premis perniagaan.

“Dengan 80 pusat beli-belah beroperasi di ibu negara, statistik itu dengan sendirinya mencerminkan bahawa keadaan keselamatan masih terkawal, cuma ia menjadi isu kepada masyarakat apabila dilaporkan secara berlebihan oleh pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, polis akan meramaikan kehadiran anggotanya di tempat awam terutama di kawasan kerap berlaku jenayah supaya dapat menangani kebimbangan dalam kalangan orang awam terhadap kes itu.

Bernama memetiknya berkata, pihaknya mahu mengatasi persepsi ketakutan orang ramai terhadap jenayah dengan menggunakan pendekatan kehadiran polis.

“Jumaat lepas, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) telah memanggil semua pengarah dan ketua polis negeri untuk memantapkan lagi program bagaimana hendak mencegah jenayah khususnya bagi mengatasi ketakutan terhadap jenayah.

“Dalam mesyuarat itu diputuskan beberapa perkara termasuk penambahan anggota di kawasan kerap berlaku jenayah dan menggunakan eleman dalam KDNKA iaitu memaksimumkan semua anggota kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kepolisian Berprofil Tinggi dengan penduduk Pulau Aman semalam..

Beliau berkata pihaknya akan menggunakan anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis Marin untuk ditempatkan di 50 kawasan ‘panas’ di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. – KL-Today