klpost

PAS menunjukkan talam dua muka? – Oleh Farouk A. Peru

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Hadi
Apabila sesuatu parti itu dilabel ‘Parti Islam’, maka persepsi yang diberi kepada rakyat ialah parti tersebut beroperasi dengan nilai-nilai Islam. Ini adalah persepsi yang jauh ke laut apabila menilai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS berubah wajah sesuai dengan keadaan. Nilai-nilai Islam yang sebenar telah jauh diketepikan dan mereka dengan mudahnya akan menggunakan mana-mana nilai yang dapat memberikan mereka kemenangan moral (moral victory).

Teringat saya perhimpunan mereka di Padang Merbuk tempoh hari. Walaupun hujah-hujah yang menyokong pindaan kepada had-had kuasa mahkamah syariah amatlah cetek dan dangkal, tetapi marhaen PAS tiada masalah untuk berlompat-lompat dan bersorakan dengan kuat seperti kanak-kanak. PAS bukan parti politik tapi kultus.

Sekarang pula, ternampak macam ada perpecahan dalam PAS. Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS, telah menyatakan bahawa Amerika Syarikat perlu menyiasat skandal 1MDB kerana kerajaan Malaysia telah gagal berbuat demikian. Menurutnya lagi, apabila kerajaan Malaysia sendiri telah menghampakan rakyat jelata, maka tidak hairanlah apabila mereka mengalu-alukan campur tangan kuasa asing.

Kenyataan Tuan Ibrahim ini amatlah menghairankan. 1MDB jadi skandal bukan semalam. Malah bukan juga July 2016 apabila laporan jabatan keadilan Amerika Syarkat yang pertama dikeluarkan dan memanggil Malaysia sebagai ‘kleptokrasi’. Malah skandal ini sudah beberapa tahun lamanya. Mengapa hanya sekarang Tuan Ibrahim baru menyuarakan pendapat?

Dalam pada itu pulak, Hadi Awang, presiden PAS sendiri telah mengeluarkan kenyataan. Menurutnya, dia bukan menentang penyiasatan ke dalam skandal 1MDB. Tidak sama sekali! Dia hanya menentang campur tangan kuasa asing seperti Amerika Syarikat, itu sahaja. Apa yang Hadi lupa (atau buat-buat lupa) ialah orang-orang yang tertuduh tidak membuat kesalahan mereka di Malaysia.

Jika mereka membeli aset-aset mereka di Malaysia dan dana yang digunakan ialah dana yang tidak sah, maka Amerika Syarikat boleh dikatakan membuat campur tangan. Tetapi kesalahan-kesalahan ini telah berlaku di Amerika Syarikat sendiri. Dengan ini, mereka ada hak untuk menyiasat tentang isu ini kerana kredibiliti dan reputasi mereka telah tergadai.

Kita boleh memikirkan situasi 1MDB dengan analogi ini. Jika kita anggap Amerika Syarikat sebagai restoran KFC, maka sebagai pemilik premisis, mereka berhak untuk memastikan yang pelanggan-pelanggan mereka tidak membawa makanan luar yang boleh mencemarkan restoran mereka. Jika mereka membenarkan pelanggan-pelanggan mereka berbuat demikian, maka mereka mengambil risiko yang tinggi yang boleh mengotori kredibiliti dan reputasi mereka.

Ini yang memberi mereka motivasi untuk mengawasi ‘restoran’ mereka. Jadi Amerika sebenarnya bukannya campur tangan tetapi yang hanya mangawasi kualiti ‘restoran’ mereka.

Adakah Hadi faham hakikat ini? Susah untuk kita tahu. Tahun lepas, Hadi telah mengeluarkan kenyataan yang jika kita mahu menuduh sesiapa dalam skandal 1MDB, kita perlu ada 4 orang saksi. Bayangkanlah, kita perlu empat saksi untuk memastikan transaksi bank!

Dalam zaman manakah Hadi hidup? Dia tidak tahu ke yang semua transaksi sekarang adalah dengan cara elektronik sahaja? Dengan menekan sebutang saja, berbilion duit boleh bertukar tangan. Adakah dia menyangka yang kita perlu masuk dalam peti besi dan mencuri bata-bata emas?!

Rasa saya, tidak. Lebih kemungkinan yang Hadi hanya cuba menutup kenyataan-kenyataannya yang dulu yang pro-UMNO sahaja. Mungkin marhaen PAS tidak puas hati dengan kemesraan Hadi dengan UMNO dan Hadi terpaksa mengubati hati mereka sebelum PAS retak dibelah dua. Kita kena tunggu dan lihat…


*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post