klpost

PAS Keluar Pakatan – perjuangan demi agama

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Berlandaskan perjuangan demi agama, PAS dipelawa bersama-sama Umno-Barisan Nasional (BN) dan seterusnya keluar dari Pakatan Rakyat.
Pelawaan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapan ketika perhimpunan membantah penerbitan filem anti Islam, ‘Innocence of Muslims’ di Masjid Jamek, Kampung Baru.

Menurut ahli Parlimen Rembau itu, pelawaan itu memandangkan solidariti Pemuda Umno dan Pemuda PAS yang sedia terjalin membabitkan kecaman ke atas agama Islam.

Katanya, solidariti untuk perjuangan Islam ini mendapat pandangan berbeza dari rakan PAS dalam Pakatan iaitu DAP.

“Pemuda Umno-BN bersama sahabat dalam pemuda PAS bersolidariti memberi tumpuan ke atas kecaman terhadap agama kami…bukan seperti DAP.

“PAS tak payah bersama DAP, keluar dari Pakatan. Kita berjuang demi agama. Kita bukan mahu berpolitik, tapi hal ini membakar semangat kita.

“Jangan sentuh agama, Rasulullah serta agama-agama lain,” Khairy memberi amaran.
Provokasi

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan yang ditimbulkan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham di laman Twitternya pada Isnin lalu.

Ngeh mengatakan himpunan membantah penyiaran filem anti-Islam itu sebagai satu provokasi umat Islam sebagai reaksinya kepada kenyataan awal Khairy yang mahu bergabung dengan Dewan Pemuda PAS dalam mengadakan himpunan aman berkenaan.

“Jika ini pemimpin Ngeh,kita hantar mesej dalam pilihan raya akan datang supaya jangan buang masa untuk buang mereka (DAP),” katanya.

Hari ini turut diadakan dua perhimpunan berasingan oleh Pemuda Umno dan PAS masing-masing di Masjid Jamek dan perarakan ke Kedutaan US.

Beliau turut menjemput PAS untuk majlis malam cinta rasul pada minggu depan, dan berharap ia dapat disertai mereka. – FMT