klpost

Pakatan Rakyat terlibat dalam komplot menjatuhkan Perdana Menteri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BUKAN niat penulis nak menambah kepada luka yang sedia parah lanjutan penyiaran artikel oleh Raja Petra Kamarudin (RPK) yang menuduh kepimpinan Pakatan Rakyat, terutama PKR terlibat dalam komplot memfitnah Perdana Menteri Najib terlibat dalam pembunuhan mendiang Altantunya.

Tapi perkara ini penting untuk dibincangkan kerana bukan sedikit orang yang percaya Najib terlibat kasus tersebut yang pendedahannya pertama kali dibuat di ibu pejabat PKR di Tropicana pada 3 Julai 2008.

Sejak itu, gelaran-gelaran seperti Najib Altantunya, Najib Mongolia dan seumpamanya, sudah menjadi rutin sesetengah facebooker Pakatan Rakyat kerana mereka percaya Najib benar-benar terlibat.

Sesetengahnya berlaku juga di kalangan pengamal media dari PAS, walaupun kelompok ini menyokong perlaksanaan hukum Islam yang memerlukan kriteria pensaksian yang ketat bagi membuktikan kes-kes sedemikian. Penulis tidak terkejut kerana inilah politik.

Dalam hal ini penulis menggesa supaya semua pemimpin PKR yang disebutkan dalam artikel tersebut, antaranya YB R Sivarasah dapat tampil menjelaskan hal ini kepada umum dengan kadar segera.

Janganlah dalam hal ini Sivarasah mahu menggunakan konsep sama dipakai mahkamah pula (hakim, saksi, pendakwaraya, bukti dan sebagainya) kerana dalam soal tuduhan ke atas Najib ini pun satu-satunya bukti yang ada ialah Statutory Declaration (akuan bersumpah) pertama yang dibuat oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Akuan bersumpah kedua yang dibuat P Bala beberapa hari selepas itu pula menafikan semua penglibatan Najib seperti yang dibuat dalam akuan bersumpah yang pertama.

Tapi penulis yakin tidak ada penyokong Pakatan Rakyat yang peduli dengan akuan bersumpah kedua ini, malah penulis tidak terkejut kalau ada yang tidak tahu pun kewujudannya.

Penulis percaya, bagi memperbaiki persepsi salah ke atas Pakatan Rakyat yang sedang bertebaran sekarang lanjutan dari penyiaran artikel RPK ini, Sivarasa bersama seorang lagi peguam, M Puravalen yang dinamakan dalam artikel tersebut perlu mengadakan sidang media dengan segera bagi menjawab isu ini.

Dari situ, pihak mana yang betul dan pihak mana yang salah, akan ditentukan oleh masyarakat (seperti biasa). Yang penting ialah penjelasan dan penerangan yang sepatutnya sudah diberikan.

Perkara ini mungkin tidak begitu penting dari segi fakta kerana dakwaan dibuat melalui blog sahaja, tapi dari segi imej, perkara ini penting kerana dalam apa keadaan sekalipun Pakatan Rakyat tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti politik kotor yang seumpama ini.

Sebab jika itu benar-benar berlaku, maka tidak ada bezalah antara Pakatan Rakyat dan BN. – Suara Pakatan Rakyat