klpost

Pakatan Rakyat memulihkan projek perumahan terbengkalai

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Usaha memulihkan projek perumahan terbengkalai membuktikan bahawa pentadbiran Pakatan Rakyat menjaga kepentingan pembeli rumah dengan lebih baik berbanding Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pemulihan projek terbengkalai sepatutnya dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun menurut beliau, Kerajaan Pusat Umno-BN mengabaikan tanggungjawab tersebut dengan membiarkan masalah itu ditanggung oleh Kerajaan Negeri seperti Selangor.

“Tengok Selangor terpaksa tangani.

“Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid (Ibrahim) berjaya memulihkan beberapa kawasan perumahan terbengkalai yang sebenarnya bukan tanggungjawab negeri tetapi persekutuan yang gagal melaksanakannya.

“Pada pengalaman saya dahulu, Kerajaan Negeri hanya perlu sediakan tanah dan bantuan beri kelulusan cepat.

“Peruntukan dana adalah dari persekutuan, (kini) kerajaan persekutuan gagal jalankan tanggungjawab,” kata Anwar dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ malam tadi.

Menurut data dari Kerajaan Negeri, terdapat lebih 140 projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri membabitkan 50,000 unit rumah semasa Pakatan mengambil alih pemerintahan Selangor pada Mac 2008.

Sehingga kini Kerajaan Selangor telah berjaya memulihkan 30 peratus daripada jumlah projek terbengkalai termasuk skim-skim yang besar seperti Bukit Botak dan Pangsapuri Kampung Berembang.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Ketika menjawab soalan daripada seorang peserta, Anwar memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang memperuntukan sebanyak setengah bilion ringgit bagi memastikan isu perumahan di negeri terbabit dapat diselesaikan.

Sementera itu dalam satu lagi temubual ringkas selepas program tersebut, Anwar turut menjelaskan perlantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor adalah satu keputusan yang tepat.

“Saya dah kenal lama Tan Sri Khalid, dia memang tak pandai nak bermain-main dengan sesuatu isu sebab dia seorang yang lurus, amanah, cekap menguruskan dana rakyat.

“Dia berjaya jalankan tugas dengan cemerlang,” ujar Anwar. – SelangorKu