klpost

Pakatan Rakyat memberi kerjasama penuh bersama UMNO

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – DAP dan Pakatan Rakyat bersedia untuk memberi kerjasama penuh bersama UMNO dan Barisan Nasional bagi memastikan rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak berulang lagi buat selama-lamanya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, peristiwa 13 Mei harus diambil sebagai satu teladan dan pengajaran penting bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status, umur atau jantina dalam proses merangka penyatuan semua rakyat Malaysia.

“Tiada ruang untuk insiden 13 Mei berulang jika kedua-dua gabungan parti-parti politik samada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memberi jaminan secara ikhlas bahawa mereka akan bekerja bersama untuk menghalang kejadian ini berulang dengan mengambil kira kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya.

Kit Siang yang menjadi serangan fitnah bertubi-tubi daripada pecacai siber UMNO berkata, jika Datuk Seri Najib Razak jujur dengan dasar 1Malaysia yang dibawanya, usaha perpaduan akan berjaya.

Bagaimanapun, katanya, jika dibiarkan seperti trend fitnah yang dapat dilihat dalam pembohongan peristiwa 13 Mei, seperti yang cuba dipaparkan di dalam filem tajaan kerajaan BN, “Tanda Putera” yang meletakkan segala kesalahan terhadap DAP, ia akan menghancurkan usaha Najib mewujudkan perpaduan kaum.

“Bagaimana angkatan ‘cybertrooper’ pro-UMNO menyebarkan dakwaan palsu, tidak masuk akal, karut dan berbaur fitnah terhadap saya bahawa saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dalam perhimpunan jalanan, bahawa saya telah membunuh orang Melayu dan juga baru-baru ini insiden kononnya saya telah kencing dibawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor, walhal saya tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969,” tegas beliau.

Beliau juga menyebut tentang fitnah serupa terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang dikatakan bertanggungjawab dalam rusuhan 13 Mei 1969 sedangkan Guan Eng baru berusia 8 tahun pada peristiwa tersebut.

Malah, katanya, tukang fitnah pro-UMNO juga menuduh mendiang P. Patto terlibat sedangkan pemimpin DAP itu yang hanya menyertai DAP selepas 1973 dan tidak pernah berada di Kuala Lumpur pada Mei 1969. – Roketkini