klpost

Pakatan pembangkang tidak perlu berlakon atau ‘mencuci tangan’ – Penuh dengan kepura puraan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Pakatan pembangkang tidak perlu berlakon atau ‘mencuci tangan’ lantaran desakan banyak pihak berkaitan tindakan sumbang sekumpulan individu yang memijak gambar pemimpin, menunjukkan punggung dikhalayak ramai dan mendesak supaya bendera Malaysia ditukar.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menyelar sikap beberapa pemimpin pakatan pembangkang yang ternyata cuba berpura-pura dan menafikan penglibatan mereka dalam insiden berkaitan.

“Jangan cuba mahu memperbodohkan rakyat dengan turut sama melemparkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku sedangkan sebenarnya pakatan pembangkang tahu berkaitan perkara terbabit,” katanya kepada UMNO-Online hari ini.

Dilaporkan, seorang gadis berbangsa Cina berusia 19 tahun yang memijak gambar Perdana Menteri (PM) pada malam berkenaan telah menyerah diri di Balai Polis di Johor Bahru sambil ditemani pemimpin DAP Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Timbalan pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez.

“Jelaslah bahawa DAP adalah dalang utama kepada apa yang berlaku pada malam tersebut kerana kelakuan tersebut diinspirasikan daripada apa yang pernah dilakukan oleh pemimpin DAP semasa konvensyen mereka di Perak tiga tahun lalu.”

Pada Konvensyen DAP Perak 2009, pemimpinnya termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga bekas ADUN pakatan pembangkang yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) yang diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu meminjaknya.

“Inilah keangkuhan dan kesombongan pemimpin pembangkang dan malangnya PAS dan PKR telah diperbodohkan oleh DAP untuk melakonkan babak baru dalam sandiwara mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa agar mengejar sampai ke lubang cacing ‘penyangak negara’ yang memijak gambar PM dan isterinya dan mengibarkan bendira baru Malaysia tanpa kompromi dan maaf.

“Mereka wajib ditahan dan didakwa mengikut undang-undang negera ini tanpa belas kasihan dan bertindak tegas kerana amaran keras yang diberikan sebelum ini tidak diambil kira.

“Rakyat sudah jemu dengan amaran dan sekiranya tidak ada sebarang tindakan dalam kes memijak gambar PM dan mengibar bendera baru Malaysia ini, maka kita bimbang rakyat akan hilang keyakinan kepada kewibawaan undang-undang negara ini dan hilang kepercayaan kepada Kerajaan yang tentunya akan memberi kesan sokongan rakyat dalam PRU13 nanti.”

Tegas beliau lagi, negara ini sedang berada diambang huru-hara dengan perlakuan penyangak negara yang sudah hilang pertimbangan dan kewarasan semata-mata kerana ketamakan dan kegilaan kuasa pemimpin politik pembangkang yang mahu menumbangkan kerajaan BN.

“Mereka semakin kurang ajar dan biadap dan perlakuan mereka jelas mengancam kestabilan dan keharmonian negara ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO