klpost

Padah cuba larikan diri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Tindakan seorang wanita warga Indonesia terjun dari tingkat dua sebuah premis pusat hiburan bagi melarikan diri mengundang padah apabila dia ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah bank di Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, wanita terbabit yang berusia 20-an melarikan diri daripada pemeriksaan dijalankan pihak polis di sebuah pusat hiburan berhampiran lokasi kejadian dipercayai kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit terjun dari tingkat dua menyebabkan dia cedera di bahagian dada dan kaki.

“Menurut keterangan saksi, terdapat beberapa individu yang melihat mangsa terbaring di tepi jalan sebelum membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mayat wanita itu ditemui orang ramai di hadapan sebuah bank pada jarak 50 meter dari lokasi dia terjatuh kira-kira dua jam kemudian. Berdasarkan keterangan saksi, kami percaya mangsa ditinggalkan di lokasi terbabit selepas mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Munusamy berkata, ketika ditemui, mayat mangsa berpakaian lengkap.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di dada dan kaki. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 120 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi di pusat hiburan berkenaan.