klpost

Pacuan empat roda bertembung dengan bas ekspress

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Jalan Pekan-Nenasi dekat Rompin semalam.

Fong Chong Ren, 21, dari Rompin, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu mangsa dari arah Rompin menghala ke Pekan, manakala bas ekspres bersama 26 penumpang tersebut menuju ke Johor Bahru dari Kuantan.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu bas berusia 30-an itu mendakwa kenderaan mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh pacuan empat roda berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas hanya cedera ringan sementara semua penumpang bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA