klpost

Orang lain gaduh ,suami pula ditikam di hadapan isteri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –   Seorang mekanik maut ditikam di bahagian abdomennya di depan sebuah rumah kedai di Selayang Baru dekat sini, pada 4.30 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor SAC Datuk A.Thaiveegan berkata kejadian itu dikesan susulan laporan seorang doktor di Hospital Selayang yang curiga dengan kesan tikaman yang dialami K.Rajaratnam, 31.

“Doktor itu menyatakan mangsa yang cedera parah dengan satu kesan tikaman di bahagian abdomennya di sebelah kiri datang ke hospital bersama isterinya untuk menerima rawatan namun mangsa gagal diselamatkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham beberapa lelaki yang mencetuskan pergaduhan di sebuah pusat Internet di Selayang Baru, di sini.

“Mangsa (mekanik) yang ketika itu kebetulan berada di pusat Internet itu menjadi sasaran kumpulan berkenaan sebelum mengekori mangsa ke rumahnya kerana dianggap terlibat dalam pergaduhan itu,” katanya.

Thaiveegan berkata isteri mangsa, Krishnaveni Bangara Nindu, 29, memberitahu polis bahawa sebelum kejadian, dia dan suaminya singgah ke rumah ibunya yang berhampiran rumah mereka sebelum menyedari mereka diekori suspek.

Katanya sebaik tiba di rumah, mangsa meminta isterinya segera naik ke rumah mereka yang terletak di tingkat dua rumah kedai apabila melihat beberapa lelaki menghampiri mereka dalam keadaan mencurigakan.

“Isterinya yang ketika itu berada di beranda rumah kedai tersebut telah menjadi saksi kejadian sebelum membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan seramai empat hingga lima lelaki terlibat dalam kes itu dan tiada senjata ditemui tetapi sebuah motosikal telah ditinggalkan salah seorang suspek di tempat kejadian.

Katanya dua lelaki lain yang disyaki turut terlibat dalam kes tersebut telah ditahan di sebuah rumah di Jalan Bukit Idaman, Selayang pada 11.30 pagi tadi.

Katanya polis sedang menjejaki seorang lelaki warga tempatan yang dikenal pasti sebagai Norazuan Mohd Mustafa, 20, beralamat terakhir di Lot 47(A), Jalan Indah 6, Kampung Selayang Baru bagi membantu siasatan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– Bernama 

 

(gambar sebagai ilustrasi sahaja)