klpost

Orang Cina harus ingat jika Pakatan Pembangkang berkuasa, DAP hanyalah menumpang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

By Zainuddin Maidin (Zamkata)

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memilih untuk menyerang MCA Negeri Sembilan dan bukannya Pengerusi DAP Karpal Singh yang mengecam Pas kerana mengamalkan pengasingan gender (gender segregation) di Majlis Terbuka Hari Raya Pas Negeri Sembilan, di Dataran Senawang baru-baru ini.

Kenapa Mustafa tidak menyerang Karpal Singh yang pertama sekali menyifatkan perbuatan itu sebagai salah dan tidak perlu. “Kenapa seharusnya begitu dan inilah pertama kali saya dengar pekara ini berlaku dalam suatu majlis terbuka,” katanya.

MCA NS yang turut mengecam, kemudiannya dianggap oleh Mustafa sebagai “bukan sahaja tidak sefaham, bahkan tidak mahu faham, bahkan menyerang dan menuduh Pas mengamalkan pengasingan gender yang sejajar dengan hukum Islam,” (lihat HarakahDaily 13 September).

Hanya retorik atau cakap tak serupa bikin… Jika benar pengasingan gender mahu dilaksanakan, sepatutnya borang keahlian Abby Abadi diterima oleh Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh

Mustafa turut menjelaskan pengasingan itu hanya dikenakan ketika mengambil makanan di kaunter sahaja. Jelaslah seperti kebanyakan orang PAS, Mustafa juga berfikiran sempit dan tidak dapat melihat lebih jauh dan tidak futureristic.

Tidakkah terfikir oleh Mustafa jika pengasigan berlaku di kounter dan diperhatikan oleh para hadirin, maka tentulah juga fahaman mereka lelaki dan perempuan tidak boleh duduk di meja yang sama, walaupun suami isteri.

Di majlis-majlis kenduri perkahwinan atau di hotel hotel yang berhidangan buffet, biasanya tidak ada kaunter yang berasingan, kecuali di rumah-rumah orang-orang PAS yang kolot.

Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz juga cuba untuk mengadakan pengasingan kaunter pembayaran lelaki perempuan di pasar-pasar raya di negeri itu tetapi peraturan ini tidak dipatuhi ramai. Kerajaan negeri gagal.

Mustafa Ali seorang nasionalis yang progresif masuk ke dalam kandang lembu, maka dia turut mengebooh….

Walaupun logik tidak boleh digunakan dalam soal hukum, tetapi di negara kita percampuran antara lelaki dan perempuan di tempat umum; di institusi pelajaran, di dalam bas, di rapat umum, di buffet dan sebagainya telah diterima sebagai normal.

Baru-baru ini Pas juga mahu pengasingan lelaki dan perempuan di panggung-panggung wayang di Selangor, tetapi oleh kerana bantahan dari panggung-panggung wayang diwakili oleh DAP, maka peraturan tidak dapat dijalankan. Orang Cina tidak menghadapi masalah ini dalam pemerintahan BN.

Banyak lagi masalah titek bengek dari pemikiran uncivilised pemimpin Pas yang akan dihadapi oleh bukan Islam kiranya PAS berkuasa.

Orang Cina harus ingat jika Pakatan Pembangkang berkuasa, DAP hanyalah menumpang dan yang akan menentukan kuasa ialah PAS. PKR telah pasti akan kalah besar.

Dalam sebuah dunia yang sedang pantas ke hadapan, Pas mahu memusingkan jarumnya ke belakang dan kegagalannya satu demi satu menampakkan kepada umum bahawa, ia bukanlah sebuah parti yang sezaman dan memahami nilai-nilai sosial masyarakat berbilang kaum.

Seseorang tentu terfikir dan bertanya bagaimakah sebuah parti yang jakun, jumud, uncivilised yang menolak nilai yang telah diterima bersama oleh rakyat boleh memerintah negara ini?

Soalan ini nampak kecil, tetapi memberikan gambaran yang sangat besar dan menakutkan kepada orang yang mahu berfikir, terutama orang Cina yang terpelajar dan rasional.

Bagaimanapun dari sudut yang positif, konspirasi antara dua parti pelampau; DAP sebagai pelampau Cina dan PAS sebagai pelampau Islam, akan membawa kepada tolak ansur, pragmatik dan pengunduran mereka dari dasar-dasar parti yang keras yang tentu akan membantu kepada peneguhan masyarakat Malaysia yang bersikap sederhana, pragmatik, demokratik dan realiastik.

Bahawa kedua parti ini bergerak ke arah kesederhanaan adalah kejayaan BN, tidak sahaja ke atas rakyat umum tetapi khususnya terhadap DAP dan PAS.

Mereka baru hendak memulakan sesuatu yang telah dimulakan antara parti komponen Perikatan sejak dari sebelum merdeka yang dapat melihat antara ilusi dengan realiti dan antara idealisme dan praktikaliti.

Satu demi satu rakyat telah dapat melihat PAS memberi laluan kepada bantahan DAP. Umpamanya dalam soal hendak mengadakan pengasingan gender dalam panggung wayang, pengharaman penjualan arak di Selangor dan sebagainya.

Kita sewajarnya mengucapkan tahniah kepada DAP yang telah berjaya memurtadkan PAS untuk membuat penyesuaian dengan dasar sosialisasi negara dan menjadikan PAS lebih civilised pada pandangan umum.

Dalam pada itu kita akan terus dapat melihat oportunis-oportunis besar PAS akan cuba mempertahankan apa yang tidak lagi boleh dipertahankan demi untuk meyakinkan golongan fanatik dan bahlol dalam PAS.

Hingga saat ini yang lebih banyak dilihat memijak dasar sendiri sehingga kepada mengorbankan Negara Islam demi untuk kerjasama dengan DAP dan PKR ialah PAS.

Perjuangan untuk menegakkan Negara Islam telah bertukar kepada Negara Berkebajikan, hukum hudud hanya tinggal retorik (bekas Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa lebih berani dari Presiden Pas Haji Hadi), penjualan arak di Selangor di benarkan dan pengasingan lelaki perempuan di panggung wayang di batalkan.

Cuma yang masih dipertahankan, ialah pengasingan gender di majlis majlis terbuka PAS.

Semoga DAP terus berjaya dalam usaha untuk mentemadunkan PAS atau mengeluarkan Pas dari imej uncivilised, tertutup oleh tempurung primitif dan kejakunannnya dan menjadikannya parti yang berperadaban.