SK

Ombak kuat lemaskan remaja

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

GEORGETOWN, JUN 8, 2012: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat semasa berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini semalam.

Semasa kejadian 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.

Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid, berkata pada ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.

“Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri membabitkan 105 remaja dari seluruh negara itu dijadual berakhir esok.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor.

Terdahulu, ombak kuat sehingga 3.5 meter dilaporkan melanda sekitar pantai Pulau Pinang berikutan perubahan angin monsun timur laut kepada angin barat daya. – BERNAMA