klpost4

Nyawa di hujung pistol

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GEORGETOWN  –  Seorang lelaki maut akibat ditembak ketika sedang berbual bersama empat rakanya di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng memberitahu Berita Harian berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam, mangsa, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee dikatakan baru sahaja tiba di rumah salah seorang rakannya itu.

Menurutnya, ketika sedang berbual datang dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari salah sebuah kereta berkenaan dan bertindak menembak ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

“Melihat mangsa rebah, rakan mangsa bergegas membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran namun, mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital.

“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mati akibat terkena tembakan di bahagian bahu kanan,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri, Datuk Rahim Hanafi dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh.

Sementara itu, Kong Meng berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek.

Katanya, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.