klpost

Noh Omar patut desak Muhyiddin letak jawatan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar  sepatutnya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sekiranya rundingan penstrukturan air  di Negeri Selangor gagal diselesaikan selewat-lewatnya September ini.

Ini kerana, Timbalan Perdana Menteri adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air di Selangor dan jawatankuasa tersebut  baru-baru ini membenarkan penstrukturan air diteruskan oleh Kerajaan Selangor dengan syarat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi untuk menyelesaikan pengambilalihan ini selewat-lewatnya September ini.

Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husein dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut beliau, proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh mereka yang pakar sahaja.

Noh tiada pengalaman dalam sektor korporat jadi sudah tentu beliau tidak tahu proses ‘step-in’ atau pengambilalihan konsesi.

“Mungkin Noh ingat proses ini dilakukan sama seperti ambil alih kolam ternak udang,” sindir beliau merujuk kepada pemilikan tanah projek kolam udang oleh Noh.

Katanya, kerajaan Selangor khususnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mematuhi garis panduan WSIA sejak penstrukturan semula ini dicadangkan bagi membolehkan air dikembalikan kepada kerajaan negeri sekali gus menjaga kepentingan rakyat dari kenaikan tariff air tidak munasabah yang dicadangkan pemegang konsesi.

Ini termasuk mengadakan beberapa siri rundingan dengan syarikat konsesi dan rundingan terakhir, Kerajaan Selangor menawarkan pampasan RM9.3 billion atau keuntungan keuntungan 25 peratus kepada syarikat konsesi.

Namun, katanya, Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang dimiliki kroni UMNO, Tan Sri Rozali Ismail menolak tawaran ini dan menuntut pampasan yang memberi keuntungan sehingga 75%.

Rundingan dengan syarikat konsesi ini, tambah beliau, juga tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat kerana mereka lebih berminat menyelamatkan syarikat konsesi yakni kroni UMNO berbanding kepentingan rakyat.

Justeru, kenyataan Muhyiddin yang membenarkan penstrukturan diteruskan itu menandakan bahawa Kerajaan Pusat bersetuju dengan rancangan Kerajaan Selangor mengambilalih syarikat konsesi.

“Sekiranya penstrukturan ini diselesaikan September ini, bermakna  Muhyiddin telah gagal menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi jawatankuasa itu.

“Maka Noh yang tiada mengena dan tiada pengetahuan mendalam dalam isu air perlu mendesak Muhyiddin meletak jawatan bukan Menteri Besar,” katanya.

“Kita tidak menolak kemungkinan Noh sebenarnya mahu mengenakan Muhyiddin dalam isu air ini sebagaimana beliau meletakkan sepenuhnya kesalahan penyelewengan projek NFC ke bahu Muhyiddin,” tambah Faekah.

Sebagai menteri penuh, Noh sepatutnya memajukan industri pertanian dan membela nasib petani seluruh negara yang masih jauh ketinggalan berbanding Thailand, Indonesia malah Vietnam pun semakin meninggalkan negara ini.

Bagi Faekah, sejak beliau memegang portfolio itu, Noh tidak memberi apa-apa sumbangan dalam bidang pertanian.

Sebaliknya beliau yang membuat untung dengan melibatkan diri dalam penternakan udang sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Kita nasihatkan Noh supaya tumpukan perhatian kepada isu-isu pertanian dan penternakan serta selesaikan isu kolam udang dan pemilikan tanah 30 ekar di Kuala Selangor. Isu air di Selangor, biarkan mereka yang pakar dan berpengetahuan selesaikan,” sindirnya. – Harakah