klpost2

Nik Aziz tak berpeluang menjadi jurunikah, Apex sedih

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM  –  Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat menikahkan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat dengan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Nazri pada Jumaat ini ekoran urusan rasmi yang perlu hadiri.

Menerusi Facebook, Nik Aziz berkata, jemputan majlis nikah Apex-Nur Eilunie bertembung dengan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri bersama Sultan Kelantan pada hari yang sama.

“Susulan pertanyaan banyak pihak berkenaan dengan kesediaan Tuan Guru menjadi jurunikah perkahwinan penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat Jumaat ini, adalah dimaklumkan bagi pihak Tuan Guru bahawa beliau tidak berkesempatan untuk memenuhi undangan keluarga pengantin kerana bertembung dengan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri 1/2012 bersama Sultan Kelantan pada hari yang sama,” kata mesej dipetik daripada Facebook Nik Aziz.

Laman itu menambah, Nik Aziz  merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian pihak pengantin menjemput beliau untuk menjadi jurunikah.

“… bagaimanapun di dalam masa yang sama beliau memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan kerana pertembungan ini.

“Justeru, beliau terpaksa membatalkan kesudiannya yang telah dinyatakan di peringkat awal.

“Pihak Tuan Guru mendoakan agar saudara Khairul Fahmi Che Mat sentiasa diberkati perkahwinannya oleh ALLAH SWT dunia dan akhirat, Insya-ALLAH,” katanya.

Laporan Media 11 Disember menyebut bahawa Nik Aziz bersetuju menikahkan Apex dengan Nur Eilunie Jumaat ini.

Majlis akad nikah akan berlangsung di rumah keluarga Leuniey di Pasir Pekan, kira-kira jam 10 pagi.

Majlis persandingan sebelah perempuan pula bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember jam 8 malam yang berkonsepkan Melayu Kotemporari.

Menurut Sinar Harian, persandingan sebelah lelaki pula akan berlangsung di kediaman Apex di Kampung Cherang, di sini bermula jam 1 tengah hari dengan bertemakan ala-kampung.

Sementara itu, pada 13 Januari depan majlis resepsi bagi meraikan rakan-rakan Apex  pula akan diadakan di Hotel Royale Bintang, Damansara dengan memilih konsep English Style.

Dekorasi dan pelamin di Hotel Royale Bintang itu mendapat sentuhan magis dari Ari Wedding Couture, Kuala Lumpur.