klpost

Nik Aziz menyebabkan Ahli Parlimen Sabah keluar UMNO

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

By Zainuddin Maidin

Pas mendakwa tindakan Datuk Seri Lajim Ukin meninggalkan UMNO setelah mendapat ilham dan petunjuk dari Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Harkahdaily berkata dalam postingnya, bahawa tidak ada sebab lain, kenapa beliau sedia mengunjungi Nik Aziz bersama 27 jawatankuasa bahagian UMNOnya baru-baru ini kalau bukan untuk mendapat pandangan dan pendapat Nik Aziz.

Sementara itu di Pekan Datuk Seri Najib berkata beliau telah pun menjangkakan tindakan Lajim itu.

Katanya, “Saya tidak terkejut, kerana tiada sesiapapun yang lebih besar daripada parti melainkan kesetiaan.”

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan dalam suatu majlis berbuka puasa bahagiannya pada 28 Julai bahawa beliau meletakan jawatan sebagai pengerusi BN dan Ketua UMNO Bahagian Beufort dan juga sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Katanya terserah kepada UMNO untuk memutuskan keangotaannya dalam parti dan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri.

Beliau akan menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang didakwannya akan menjadi penentang berkesan kepada BN.

Beliau telah mementaskan berbagai lakonan politik yang sehingga ini tidak menarik perhatian atau tidak mendapat reaksi dari Datuk Seri Najib. Sikap Najib ini menampakkan kepada umum beliau sedang mencari penyelesaian kepada krisis dalam BN Sabah menjelang pilihanraya. Ternyatalah Najib tidak tunduk kepada ugutan Lajim.

Berita terakhir mengatakan Lajim dan wakil Parlimen BN Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing akan menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melancarkan Barisan Refomasi Sabah. Sebelumnya beliau juga telah menemui Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz.

Apakah yang dikehendaki atau kata dua yang diberikan oleh Lajim kepada Najib sehingga beliau sanggup menimbulkan suatu keadaan yang menggugat BN Sabah dan tentunya juga demoralised BN dalam saat memerlukan perpaduan yang utoh menghadapi pilihan raya.

Kabarnya Lajim mahu mempastikan Najib menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman dari Sabah, mempastikan beliau tidak lagi akan dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dan jika ini diterima oleh Najib, maka tentunya Lajim juga kan menghadapi cabaran dari Datuk Seri Mohd Shafei Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kabarnya, juga berminat sangat mahu menjadi Ketua Menteri Sabah.

Dan lebih dari itu jika Najib tunduk kepada sebarang tuntutan Lajim yang bersifat mengugut maka tentunya akan menampakkan kelemahan kepimpinan beliau.

Terakhir Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah pun menggesa Lajim supaya menyatakan pendirian yang tegas berhubung dakwaannya mahu meninggalkan UMNO. Dalam kata-kata lain – Lajim tamatkan drama !

Lajim telah menamatkan lakonannya dan sekarang rakyat menunggu untuk melihat Najib menangani krisis genting yang pertama kali dihadapinnya sejak menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

Pertanyaan yang segera timbul ialah apakah Sabah masih dapat diyakinkan sebagai “simpanan tetap” kepada BN?