klpost2

Nenek, 90 rayu PM untuk dapatkan kad pengenalan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SUNGAI PETANI — Seorang nenek berusia 90 tahun mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menyelesaikan masalahnya mendapat kad pengenalan baru yang dipohonnya sejak 40 tahun lepas.

Bashah Abdullah dari Kampung Bujang, Bedong dekat sini tidak lagi memiliki kad pengenalan setelah memohon menukar kepada kad pengenalan baru di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Baling pada 1970an.

Katanya, dia diberikan resit pengenalan sementara bagi penukaran itu yang diperbaharui beberapa kali sejak 40 tahun lepas dan kali terakhir pada 1990 mengikut semua prosedur dan permintaan JPN Baling termasuk beberapa kali menemui pegawai jabatan itu dengan Pengarah JPN Kedah, Muhammad Pauzi Abdullah yang ditemui Ogos lepas turut berjanji mempercepat permohonannya.

“Malangnya tiga minggu lepas JPN Baling memaklumkan, nama saya tiada dalam rekod Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiadaan kad pengenalan banyak menyusahkan dirinya antaranya semasa hendak mendapatkan rawatan di klinik dan menunaikan cek zakat di bank sedangkan beliau bukan pendatang asing.

“Saya bukan pendatang asing…..pi lah (pergi) tanya orang kampung. Mereka boleh jadi saksi jika siasatan JPN belum mempunyai bukti lengkap,” kata warga emas itu yang mempunyai dua anak lelaki berumur 62 dan 58 tahun.

Bashah yang masih sihat merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memberi perhatian kepada kesnya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.  -BERNAMA

(gambar untuk tujuan illustrasi sahaja)