Administrator

Nelydia menjadi mangsa perbalahan netizen di Instagram

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Pelakon Nelydia Senrose terkilan apabila dia menjadi mangsa serangan netizen ekoran kontroversi penahanan kakaknya, Uqasha Senrose yang hangat diperkatakan sejak hujung minggu lalu.

Menerusi akaun Twitter miliknya, Nelydia memuat naik kenyataan seolah-olah menggambarkan dia berhadapan dengan beban yang bukan dilakukannya.

“I wonder how much of what weighs me down is not mine to carry (Saya tertanya-tanya berapa banyak beban yang sebenarnya bukan milik saya tetapi perlu saya tanggung),” tulisnya.

Status tersebut mendapat komen daripada pengikutnya yang rata-rata menyifatkan petikan tersebut ada kena mengena dengan situasi yang berlaku sekarang.

Malah ramai juga yang memberi kata semangat dan berharap pelakon drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu itu serta keluarganya kuat mengharungi dugaan.

Sejak Isnin lalu, akaun Instagram Nelydia @nelydiasenrose menjadi medan perbalahan netizen selepas kakaknya itu membuat keputusan menutup ruangan komen di Instagram.

Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang pelakon popular ditahan polis selepas ditemui dalam keadaan khayal berserta sejumlah dadah sintetik yang dipercayai jenis Erimin 5 sebanyak 53 biji yang dianggarkan bernilai RM660 dalam tas tangan miliknya pada Ahad.

Uqasha bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ujian saringan awal air kencing terhadap aktres itu juga didapati negatif.

Sementara laporan Harian Metro menyebut, Uqasha bagaimanapun menafikan dia berada dalam keadaan khayal ketika di tahan seperti yang didakwa.

Malah, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu turut memberitahu bahawa terdapat unsur sabotaj terhadap dirinya. -MD