klpost

NCER menjana 16, 000 peluang pekerjaan baru

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Putrajaya: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan RM12.3 bilion dan mewujudkan 16,335 pekerjaan sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, memberitahu Bernama, tahun lalu wilayah itu menarik pelaburan RM9.9 bilion dan mewujudkan 10,369 peluang kerja.

Beliau berkata, pelaburan utama diperoleh dari sektor pertanian dan pembuatan, dengan penyertaan kukuh dari pelabur Jepun.

“Penyertaan sektor swasta tempatan dalam wilayah ekonomi itu berkembang kepada 39 peratus daripada 19.4 peratus pada tahun lalu,” katanya selepas bertukar memorandum perjanjian (MoA) dengan empat syarikat yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Syarikat itu ialah Cypark Resources Bhd, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd, TS Solartech Sdn Bhd dan Toyo Tires Manufacturing (M) Sdn Bhd.

MoA itu menyaksikan syarikat berkenaan yang terbabit dalam sektor tenaga diperbaharui dan kenderaan motor, mengembangkan perniagaan masing-masing dengan membina kilang baharu dan meneroka peluang baharu di wilayah ekonomi itu.

26 persefahaman

Sepanjang tahun ini, katanya NCIA melaksanakan 26 persefahaman dengan sektor swasta, 58 inisiatif peringkat sektor dan enam inisiatif logistik wilayah.

“Antara usaha yang akan dilaksanakan tahun depan termasuk 36 inisiatif penyelidikan dan pembangunan, 16 inisiatif kluster, dua inkubator dan 16 inisiatif pemangkin bagi menjana penyertaan sektor swasta” katanya.

Sebelum itu, Redza mengadakan pertemuan dengan Najib bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju NCER.

“Perdana Menteri juga memberikan lampu hijau dan beliau sangat berpuas hati,” katanya. – BERNAMA