klpost

Nasib Malang Budak Lelaki Setelah Dirawat oleh Bomoh Tempatan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA TERENGGANU  –   Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib seorang budak lelaki berusia empat tahun apabila tangan kanannya yang patah setelah terjatuh tangga rumah pada Rabu lalu kini membengkak dan berwarna kehitaman.

Ia gara-gara tindakan bapa mangsa, Nor Azhadi Nordin, 35, mendapatkan khidmat seorang bomoh patah untuk merawat anaknya, Nor Arif Luqman yang bertindak membalut luka tangannya yang patah itu dengan kain.

Bagaimanapun tindakan bomoh tersebut bukannya membantu memulihkan tangan budak itu sebaliknya menyebabkan ia membengkak dan berubah warna menjadi hitam.

Bimbang dengan keadaan itu, Azhadi dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Doktor yang merawat anaknya itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada tangan anaknya itu masih boleh diselamatkan atau tidak.

Azhadi memberitahu anaknya terjatuh dari tangga ketika bermain di rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 2.30 petang.

“Apabila rasa sakit, anak saya beritahu tangan dia patah dan atas nasihat ahli keluarga, saya bawa dia jumpa bomoh di Kampung Dusun sejauh 15 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelasnya, dia bagaimanapun curiga apabila melihat bomoh berusia 70-an itu membalut tangan anaknya terlalu ketat.

Katanya, selepas ditanya, bomoh berkenaan memberitahu itu adalah cara rawatan untuk mengelak tangan anaknya bergerak dan tulang yang patah dapat bersambung semula.

“Keesokannya tangan anak saya mula membengkak dan kehitaman lalu saya pergi semula berjumpa bomoh tetapi diberitahu ia berlaku sebab tangan anak saya terkena air,” katanya.

Katanya, sehari kemudian, tangan anaknya bertambah teruk menyebabkan dia nekad membawanya ke Hospital Hulu Terengganu dan doktor memberitahu kesan patah tidak bercantum dan keadaan tangan anaknya parah.

Menurut Kosmo, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan terus dibedah tetapi doktor tidak dapat memastikan sama ada tangan anaknya itu masih boleh diselamatkan atau tidak dan hanya memantau perkembangan kesihatan mangsa.

“Menurut doktor, harapan untuk anak saya pulih adalah 50-50,” katanya yang tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas bomoh berkenaan.

Namun jelasnya, kejadian tersebut merupakan pengajaran kepada dia dan ahli keluarga dan berharap agar orang lain dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu.