klpost

Nak salam ke tidak? – oleh Fa Abdul

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

salam
Semasa saya kecil dahulu, mak dan ayah saya selalu berpesan, “Bila berjumpa orang yang lebih tua, mesti hulurkan tangan dan bersalaman. Itu tanda menghormati orang lain,” kata mereka.

Sebagai anak yang baik dan menurut nasihat, saya selalu ingat pesan mereka. Ke mana sahaja saya pergi, saya akan sibuk menghulurkan tangan minta disalam, sambil bibir saya meleret panjang, tersenyum. Saya dapati kaedah ini sangat berkesan kerana orang dewasa yang bersalaman dengan saya akan turut tersenyum, seolah-olah ada tenaga yang berpindah dari tangan saya ke tangan mereka melalui salam.

Masih tebal lagi dalam ingatan, akan tabiat saya sempena menjelangnya setiap Syawal. Ke hulu ke hilir, saya akan berjalan sambil menghulurkan salam kepada semua orang yang saya temui. Yang hebatnya, setiap salam akan berakhir dengan pemberian sampul berwarna hijau berisi wang. Memang best bersalam ketika itu.

Tetapi keadaan mula berubah beberapa tahun selepas itu. Ketika belasan tahun, salam saya tidak lagi disambut selalu seperti tahun-tahun yang terdahulu dan senyuman yang saya lemparkan mendapat balasan yang hambar.

Pada mulanya pening juga saya memikirkan mengapa abang sepupu dan pakcik-pakcik saya membiar salam saya terapung di udara – mungkin mereka tidak lagi suka akan saya seperti dahulu. Sebagai remaja yang berdarah panas, jiwa saya memberontak tidak mahu bersalam lagi dengan mereka yang tidak mahu menyambut tangan saya.

“Mereka tak sambut salam kamu sebab tak mau bersentuhan dengan orang bukan muhrim, bukannya sebab mereka tak suka kamu,” tegur mak menyedari tabiat saya yang merajuk memanjang.

“Kenapa dulu boleh salam, sekarang pula tak boleh? Dulu pun bukan muhrim jugak!” bentak saya.

“Dulu mereka orang biasa saja, sekarang dah jadi pak ustad!” kata mak, menyindir.

Saya akui, semakin ramai saudara-mara saya memperdalami agama, semakin ramai yang tak nak bersalaman dengan saya. Pelik juga sebab ayah saya sendiri yang sudah berkali-kali mengunjungi kota Mekah, menunaikan Haji dan Umrah, tak pernah lekang menunaikan solat di masjid dan menghadiri ceramah-ceramah agama, tak pernah pula ayah saya menolak salam sesiapa, muhrim dan bukan muhrim.

“Kenapa ya?” tanya saya pada ayah satu hari.

Sambil menyikat janggut putihnya ala Ahmat Deedat itu, ayah berkata, “Orang memberi salam tanda hormat pada kita. Kalau kita tak menyambutnya, itu tanda kita tak hormat pada mereka. Dan agama kita amat menekankan soal hormat-menghormati antara satu sama lain.”

Kata-kata ayah ringkas, tetapi bernas.

Dalam pada saya mengikut teladan ayah, saya ada dengar desas-desus daripada golongan masyarakat yang mahu mengikut jejak pak-pak ustad yang tak mahu bersalaman. Kata mereka, bersentuhan dengan yang bukan muhrim boleh menaikkan syahwat dan nafsu berahi, maka lebih baik untuk tidak bersentuhan. Agak lucu juga bila saya bayangkan pak-pak ustad tersebut masing-masing naik syahwat tatkala bersentuhan dengan makcik yang jual nasi lemak, kakak yang jadi juruwang di pasaraya dan adik yang bertugas di plaza tol.

Tapi kesian juga mereka itu, apa tidaknya, bukan mudah untuk melayan nafsu berahi setiap kali bersentuhan dengan yang bukan muhrim. Bayangkan jika pak ustad tersebut bertugas di bank – kalau bersentuh dengan sepuluh wanita bukan muhrim dalam urusan pengendalian wang, sepuluh kalilah pak ustad tersebut akan naik syok, maaf, maksud saya naik syahwat. Bayangkan jika pelanggannya di bank itu seramai dua puluh orang atau tiga puluh orang. Mak oi, penat bersyahwat akan melebihi penat bekerja.

Kalau begitulah halnya, saya rasa memang patut pak-pak ustad yang mudah bernafsu, tidak bersalaman dengan yang bukan muhrim.

Cuma yang peliknya, mengapa pula ramai wanita yang bersarung tangan untuk menghindarkan diri dari bersentuhan dengan yang bukan muhrim – bukankah ramai wanita Muslim di Malaysia sudah dihiris kelentitnya (bersunat bagi perempuan) untuk mengurangkan nafsu? Jadi secara logiknya, sekadar bersentuhan ketika bersalam bagi wanita, tidak akan menaikkan nafsu syahwat. Maka bukankah pak-pak ustad yang mudah naik syahwat yang harus bersarung tangan bagi mencegah ‘kekerasan’ yang bakal dirasai dan bukannya wanita Muslim?

Walaubagaimanapun, setelah menempuhi pelbagai pengalaman ketika bersalaman sepanjang empat dekad ini, kini saya bertemu pula dengan lapisan masyarakat yang lebih suka mendakap ringkas sebagai cara menghulurkan persahabatan. Saya ingat ketika saya mula-mula menghulur tangan mahu bersalaman sedangkan mereka mahu memeluk – pasti mereka juga menganggap saya kurang menghormati mereka. Lalu kini saya balas sahaja pelukan mereka itu – seperti nasihat ayah dulu, “agama mengajar kita menghormati orang lain.”

Kini di usia menjangkau 40 tahun, sudah beribu tangan saya salam dan beratus tubuh saya dakap, tak pernah sekalipun saya naik berahi dan tak pernah sekalipun lelaki Muslim yang bersentuhan tangan mahupun yang memeluk ringkas tubuh saya ini pernah berkelakuan sumbang terhadap saya.

Agaknya betullah kata ayah – bersalaman itu tanda hormat, dan apabila orang hormat pada kita, tiada akan ada perasaan yang tidak elok. Mungkin kerana itu jugalah Al-Quran langsung tidak melarang kita bersalaman antara satu sama lain.


*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Kuala Lumpur Post.