klpost

Musa-PDRM berdiri di kaki sendiri,ambil tindakan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menarik perhatian negara ekoran pendirian lantang dalam beberapa isu kebelakangan ini, hari ini melahirkan harapan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama pemimpin politik dan ahli perniagaan.

Sehubungan itu, beliau juga mahu statistik semasa yang tepat mengenai kadar jenayah di negara ini dimaklumkan kepada orang ramai, bukannya disembunyikan.

Musa berkata, ini penting kerana timbul kekeliruan berikutan sesetengah pihak mendapati kadar jenayah di negara ini tinggi dan ia menimbulkan kebimbangan.

“Bila timbul pencanggahan rakyat akan keliru, kerana ada mengatakan tinggi, ada yang mengatakan tidak. Oleh itu, ia perlu penjelasaan, kita sedia maklum bahawa indeks jenayah punya pelbagai pecahan kerana merangkumi pelbagai jenis jenayah.

“Huraikan semua… apa itu jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan bermacam lagi, biar rakyat faham jangan selindung,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah membangkitkan isu bahawa kadar jenayah di negara ini tinggi berbanding apa yang diperjelaskan oleh kerajaan.

Musa berkata, sebagai bekas Ketua Polis Negara, beliau tidak mahu PDRM dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama parti politik.

“Saya sayang dengan PDRM, jalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat, sebagai anggota penguat kuasa jangan babitkan diri dengan politik terutama ketika menjalankan tugas,” katanya.

Musa berkata, beliau kesal berikutan ada di antara individu luar yang bergelar ahli perniagaan boleh mencampuri urusan PDRM.

“Ahli perniagaan itu boleh meminta pihak pengurusan tertinggi PDRM menukarkan salah seorang pegawai kanan polis yang enggan meluluskan pembayaran bagi projek menaik taraf sistem komunikasi yang diperolehinya pada tahun 2009.

“Perkara ini amat dikesali, saya difahamkan bahawa pegawai terbabit enggan untuk meluluskan kerana projek itu belum siap, tetapi disebabkan keengganan itu, beliau telah ditukarkan dari Bukit Aman,” katanya.

Musa berkata, beliau berharap agar PDRM terus berdiri di atas kaki sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Tambah beliau, walaupun beberapa siri pendedahan dilakukan, kerajaan masih berdiam diri dan tiada sebarang tindakan diambil.  – SN