klpost4

Muhyiddin: Malaysia di landasan betul untuk mencapai wawasan 2020

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR  –  Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai negara maju hasil transformasi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka semalam, beliau berkata, selain transformasi dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kejayaan itu juga dicapai berkat perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Muhyiddin meminta rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang dikecap hari ini sebagai landasan untuk membina kejayaan lebih gemilang di hari esok.

“Sebaik sahaja fajar 2013 menyingsing, detik kiraan masa untuk kita mencapai status negara maju hanya tinggal tujuh tahun saja lagi.

“Insya-ALLAH, dengan sokongan dan dukungan seluruh rakyat, dengan doa dan keazaman kita untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan, kita akan melakar masa depan bersama yang lebih sejahtera di bumi Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, serta beberapa menteri Kabinet yang lain.

Di hadapan 130,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka, Muhyiddin mendoakan Malaysia kekal aman dengan rakyat bersatu-padu hidup dalam kemakmuran.

Beliau juga berharap Malaysia terus kekal menjadi negara yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Kita berdoa supaya 2013 akan melakar sejarah baru yang lebih cemerlang serta gemilang dan bersama kepimpinan Perdana Menteri, kita akan melayari bahtera negara maju menjelang 2020.

“Saya doakan kita terus sejahtera tanpa mengira agama dan keturunan…mengikat perjanjian untuk sama-sama menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.  –  Bernama