klpost2

MIC – ‘Kami sudah lama bersedia, hanya menunggu semboyan sahaja’

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

MIC, antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), mempunyai tugas sukar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),iaitu mengembalikan sokongan kaum India semula selepas tsunami politik yang berlaku 2008. Apakah sasaran dan rancangan parti ini?

Sejauh mana peluang untuk MIC pada PRU akan datang?

Peluang MIC dijangka lebih cerah berbanding 2008 berdasarkan pencapaian kami yang semakin meningkat.

Sebenarnya tiada analisis yang lebih spesifik mengenainya, tetapi melalui analisis daripada Merdeka Center, peratusan sokongan kaum India semakin meningkat terhadap MIC dan BN.

Peningkatan itu juga dilihat melalui analisa berdasarkan keputusan peti undi kaum India, menang dengan majoriti yang lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu khususnya di Bagan Pinang, Hulu Selangor, Merlimau dan Tenang.

Keyakinan itu juga bersandarkan faktor kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat.

Hasil maklum balas daripada pengundi juga mendapati, usaha MIC turun padang ramai yang telah memberi sokongan. Malah yang sebelum ini menentang BN, akhirnya kembali memberikan sokongan semula terhadap BN.

Mengapa mereka bertindak sedemikian, menentang dan akhirnya kembali kepada MIC?

Golongan muda India khasnya melihat Pakatan Rakyat (PR) gagal menunaikan. Mereka menabur pelbagai janji tetapi tiada satu janji itu yang ditunaikan. Oleh yang demikian, kaum India merasa kecil hati dengan tindakan tersebut.

Sebaliknya, mereka  melihat PM seorang pemimpin yang mengambil berat isu kaum India. Selain itu juga terdapat perubahan kepada pucuk pimpinan BN dan operasi MIC yang dilihat memberi harapan kepada mereka.

Sebagai pemimpin nombor satu negara, apakah tindakan dan inisiatif Najib, dalam meningkatkan sokongan kaum India terhadap BN dan MIC?

Kami dapati terdapat dua peringkat tindakan PM, di mana beliau menjalankan kewajipan secara menyeluruh kepada semua kaum. Bagaimana beliau turun padang bertemu semua kaum dan lapisan masyarakat dan mewujudkan pelbagai program membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pelbagai inisiatif yang beliau lakukan antaranya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), wang bantuan persekolahan dan pelbagai lagi, dilihat oleh kaum India bahawa BN corak pentadbiran BN yang mengambil berat akan kesukaran golongan berpendapatan rendah.

Dari segi khusus untuk kaum India, PM telah banyak perancangan dan pelaksanaan yang dilihat begitu dengan hati kaum India iaitu berkaitan infrastruktur pembangunan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT).

Beliau telah mengembangkan latihan dan kemahiran modal untuk peniaga kecil dalam membantu peniaga kaum India.

Selain itu, banyak juga peruntukkan kepada rumah ibadat dan  semua tindakan ini mengambil hati kaum India dan beliau dilihat telah menunaikan janjinya.

Jika dibandingkan MIC kini sokongan kaum India di luar bandar lebih ramai daripada di bandar. Justeru, apakah peranan yang dimainkan MIC, dalam menarik sokongan kaum India di bandar?

Memang diakui, peratusan sokongan kaum India lebih tinggi di luar bandar. Dalam pada masa yang sama, peraturan sokongan kaum India juga dilihat semakin bertambah melalui pelbagai usaha dan program yang dilakukan.

Kami mendekati mereka melalui dua cara iaitu dengan mendampingi mereka secara terus dengan mengadakan program taklimat kepada pengundi dan  ceramah. Selain itu juga, cawangan dan bahagian MIC digerakkan untuk mengedarkan risalah mengenai inisiatif dan bantuan BN terhadap kaum India kepada rakyat. Kami juga sentiasa bekerjasama dan bergabung dengan komponen parti dalam BN iaitu MCA dan Umno, seperti Karnival Kerjaya (BN Job Fair).

Bagaimana pula pendekatan MIC khususnya dalam menarik sokongan pengundi muda?

Golongan muda ini sememangnya kritikal, di mana cabarannya mereka selalu inginkan penjelasan berkaitan pelbagai program yang dilakukan kerajaan. Justeru, MIC telah menggerakkan pasukan Pemuda bagi menjelaskan pelbagai isu semasa kepada golongan muda yang diberi nama Ops Jelas yang akan pergi ke seluruh kawasan sejak tiga bulan lalu.

 
Bagaimana dengan persiapan MIC menjelang PRU13?

Memang kami sudah bersedia sejak enam bulan lalu, dan hanya menunggu semboyan sahaja. Di ibu pejabat juga, kami menyediakan pusat arahan untuk menyelaraskan tindakan dan penyebaran maklumat. Begitu juga dengan persiapan barangan kempen daripada segi logistik sebagainya lagi.

Sejak enam bulan lepas juga kami mengadakan program taklimat pengundi, dengan mengadakan ceramah di seluruh negara, tetapi tumpuan utama khususnya di Selangor, Perak dan Kedah.

Apakah sasaran MIC pada PRU kali ini?

Sasaran PRU semestinya mengembalikan negeri yang kalah pada PRU lepas kepada BN dan kekalkan Perak.

Pada PRU lepas, MIC kalah enam daripada sembilan kerusi di peringkat Parlimen. Bagaimana strategi MIC untuk kembali menang di kawasan tersebut?

MIC kalah di Kota Raja, Kapar, Subang, Teluk Kemang, Sungai Siput dan Hulu Selangor, namun MIC menang kembali Hulu Selangor pada PRK lalu.

Perubahan kerusi itu berkemungkinan, namun ia bergantung kepada Pengerusi BN dan Presiden MIC. Ramai di kalangan muka baru akan dinaikkan dalam PRU akan datang dan calon yang menang dalam PRU lepas akan dikekalkan.

Apakah kelemahan MIC pada PRU lalu, yang menyebabkan sokongan kaum India beralih kepada pembangkang?  

Sebelum PRU 2008, MIC dilihat gagal membuat pendirian tegas terhadap apa yang dilakukan Kerajaan pada masa itu. Contohnya dalam isu kuil di Padang Jawa, Klang, Selangor. Apabila berlaku, mereka katakan MIC tidak tegas dan wujud tuduhan BN tidak menghormati MIC. Dalam pada itu, Hindraf juga mengadakan perhimpunan besar-besaran. Kaum India ketika itu melihat MIC tidak membela nasib mereka.

Namun, kini perkara itu menjadi lebih baik dengan adanya tindakan PM yang mendengar keluhan masyarakat India. Mereka tidak lagi ketinggalan dan bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi negara.

MIC yakin BN berpeluang besar menang dalam PRU akan datang?

Saya realistik, tidak mudah untuk mengambil semula negeri-negeri yang berjaya dirampas daripada BN sebelum ini. Tetapi ada keyakinan berdasarkan moodnya, sokongan rakyat telah kembali semula kepada BN.

Dapat dilihat baru-baru ini, dalam isu yang cuba ditutup oleh pembangkang, akhirnya terbuka dan rakyat sendiri dapat menilai sejauh mana kepimpinan mereka. Tindakan pembangkang itu juga menunjukkan mereka gagal memerintah.

Sekiranya Pembangkang menjadi Kerajaan dalam PRU akan datang, adakah MIC akan bertindak keluar daripada BN?

Tiada isu, MIC bukan bergabung hanya untuk pilihan raya, tetapi bergabung  untuk kesejahteraan Malaysia. Ini adalah formula yang berjaya di negara ini.

Baru-baru ini, dakwaan pembangkang bahawa 300,000 kaum India didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri? Bagaimana komen MIC akan hal ini?

Tindakan pembangkang mendakwa 300,000 penduduk Malaysia berketurunan India tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan hanyalah permainan politik mereka dalam meraih sokongan rakyat. Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan kaum India khususnya tidak mudah terpedaya dengan helah tanpa bukti.

Sebelum ini, kami mencabar mereka jika benar dakwaan 300,000 orang kaum India tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan seperti didakwa kepada MIC supaya tindakan boleh diambil. Namun, sehingga kini mereka gagal mengemukakan bukti tersebut.

Kegagalan mereka dengan jelas menunjukkan dakwaan mereka itu tidak benar dan hanyalah bertujuan mengaut keuntungan politik semata-mata. Jika benar mereka mengambil berat akan isu 300,000 kaum India tanpa pengenalan diri, mereka perlu mengemukakan hal itu kepada JPN. Malangnya, mengapa sehingga kini mereka tidak lakukan.  – sinarharian